Sunday, 18 October 2015

Aku Berhak Bahagia di dalam 3 Wanita Yang Aku Cinta

Teks : Monalita Mansor

Sebahagian daripada petikan cerpen yang tersiar di dalam majalah Seri Dewi & Keluarga, akan bersama-sama dimuatkan di dalam kompilasi 3 Wanita Yang Aku Cinta. Bakal terbit. Insya-Allah


“Mak nampak ‘kan, Farah memang salah ‘kan? Kenapa mak nak bela dia?” Tercabar hakku sebagai ibu Farah apabila mak tiba-tiba membela benar cucunya itu. Benarlah kata orang, temali roh penghubung cucu dengan nenek memang berhantu. Silap haribulan memakan diri. Nyata, sekarang ia sedang melupuskan kehadiranku sebagai ibu yang berhak terhadap Farah.
“Sepuluh kali nak mengajar anak, tak payah ditengking-tengking begitu!” bangkang emak. Itu pun setelah emak berjaya mendiamkan Farah yang tentunya mengadu padanya tadi.
“Mak percaya sangat cakap Farah tu kenapa? Saya suruh dia siap, mandi…pergi mengaji…salah saya ke?” Argh! Aku bakal kalah lagi.
“Budak-budak tak pandai menipu, Fida. Kalau Fida cakap elok-elok, tak disakitkan, Farah mesti dengar punya…” balas dia.
“Argh! Farah tu memang mengada-ngada!” getusku. Pisau di tangan, aku campakkan ke dalam sinki. Sakit hati seumpama pisau itu sudah tercacak di dadaku. Panas meruapkan rasa benci dan meluat mendengar perkataan yang aku kira berupa sindiran itu.
“Sejak mak datang sini… Farah tak nak dengar lagi cakap saya!” protesku.
Aku memang bencikan dia! Tidak dapat aku lengkungkan bibir walau seketika untuknya. Walaupun untuk berpura-pura gembira dengan kehadirannya. Benci! Benci! Aku minta dia datang ketika aku berpantangkan adik Farah. Itu sahaja. Selepas itu terbanglah ke mana dia  mahu. Selama ini pun, dia lepas bebas berterbangan tanpa pedulikan aku dan adik-adik. Selepas memahami perkataan ‘cerai’ sebagai maksud perpisahan antara dia dengan abah, aku hanya melihat wajahnya di dalam gambar ditunjuk abang, kemudian bertemu setahun sekali.
“Fida jangan berkasar dengan anak-anak, tak baiklah. Nanti anak-anak terikut-ikut. Membentak-bentak…tak ba…” Suaranya masih lunak.
“Argh!” Aku tidak ingin mendengar suaranya yang lunak tapi kukira beracun itu. Suara yang berpura-pura. Semua yang ada pada dirinya hanyalah lapisan busana pentas yang disarung dan kelihatan sangat hebat sehingga semua tertawan. Hingga semua mulut dan mata melopong melihatnya

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung