Showing posts with label ulasan buku. Show all posts
Showing posts with label ulasan buku. Show all posts

Wednesday, 27 December 2017

Antologi Cerpen Kelip-Kelip Kusangka Api - Dia Yang Manis Tunggu Di Jendela (Noor Suraya)

Assalamualaikum.

Tajuknya manis. Tetapi plotnya tidak semanis tajuk, maksudnya ada konflik, ada klimaks malah latar yang mencabar juga sudah mencabar minda pembaca untuk meneruskan pembacaan. Pemilihan diksi yang segar menjadikan cerita ini bergerak laju di atas landasannya.

Malangnya, terlalu laju. Dan, kalau boleh seperti yang ditanya penulisnya - mahu dipanjangkan menjadi novel? Kisah cintanya mungkin biasa tetapi wataknya yang mungkin berbeza membuatkan anda ingin berada dalam latar itu.

Sanggupkah Abdullah Uwais tukarkan Kedah Darulaman dengan seorang Chahya Sujan Kansakar?


oh...terasa seperti Manisha Koirala pulakk...

Monday, 25 December 2017

Antologi Kelip-Kelip Kusangka Api - Gelap. Hitam. Kosong (Wizana Emilia)

Assalamualaikum.

Idea menarik. Sebuah lagi cerpen yang mengadunkan genre kekeluargaan dan suspen. Namun begitu, ia tetap harus dibaca sehingga ke akhirnya.

Sunday, 24 December 2017

Antologi Kelip-Kelip Kusangka Api - Ilham Buat Jannah (Aina Najiha)

Assalamualaikum.

Saya nak menangis! Saya nak menangis. Cerita ini sangat suspen dan penulis bertindak menggantung penamatnya. Ia diadun cantik dengan kronologi suspen yang menarik. Saya mohon idea ini dikembangkan menjadi apa sajalah, asalkan saya tahu penamatnya....Huwaaa...


Aku bisa menyelesaikan masalah ratusan orang namun apabila jatuhi masalah kepada diriku sendiri nyata kemampuan aku terbatas.

Cerpen ini berada di depan cerpen Jelita Pertapa, Monalita Mansor

Saturday, 23 December 2017

Antologi Kelip-Kelip Kusangka Api - Juadah Menantu Mama (Dhuha Steffa)

Assalamualaikum.

Sebuah lagi cerpen yang menghidangkan 'juadah' solusi yang indah dalam kehidupan manusia. Kehidupan yang diingini manusia, dijalani dengan sentosa dan sejahtera. Penulis telah menamatkan cerita dengan penamat yang sedikit anti-klimaks tetapi masih diikat dengan idea yang menarik dan memberikan ilham pula kepada pembaca untuk melakukan hal yang sama.

Jangan cepat terpesona dengan kelip-kelip yang indah tetapi akhirnya lesap. Carilah api yang sebenar. Api jika dikendalikan dengan bijaksana, akan menerangi kehidupan bukan menyebabkan kemusnahan.


Disebabkan Jelita Pertapa, tulisan Monalita Mansor kedapatan di dalam antologi ini juga, maka komen-komen rinci mengenai aspek teknikal hanya akan diberikan kepada penulisnya sahaja untuk mengelakkan sebarang rasa prejudis.

Thursday, 21 December 2017

Antologi Kelip-Kelip Kusangka Api - Kubur Panjang - Kuala Ketil - Kulim (Syarmiza Basir)

Assalamualaikum.

Cerpen berlabel nombor 18. Olahannya menarik, malahan mesej yang nak disampaikan oleh penulis sampai ke hati saya. (Hati saya. Hati orang lain, saya tak tahu) Intipati ceritanya sarat dengan nasihat dan moral yang perlu difikirkan dalam-dalam.

'Sabar macam titis-titis air dalam gua. yang menitik jatuh beratus-ratus tahun barulah terbentuk sebuah kolam kecil atas bongkah batu keras.'


Disebabkan cerpen saya pun ada di dalam antologi ini, segala komen teknikal tidak akan disiarkan untuk tidak mewujudkan konflik kepentingan dan unsur ketidakadilan.

Friday, 8 December 2017

Antologi Kelip-Kelip Kusangka Api - Mekar Senyum dan Sebuah Mesin Basuh (SMahadzir)

Assalamualaikum.

Cerpen yang manis dan indah. Antara cerpen yang menarik di dalam antologi ini buat saya. Kisahnya ringkas, berpunca daripada mesin basuh sahaja. Namun, ia meleret kepada permasalahan emosi lainnya yang bermula klise kemudian ditangani dengan twist plot yang menarik oleh penulis.

Saya tak minta perabot mahal, saya tak minta televisyen 42 inci, saya tak minta rantai atau gelang tangan emas yang berpuluh ribu. Yang saya minta cuma mesin basuh sahaja.

Thursday, 7 December 2017

Antologi Kelip-Kelip Kusangka Api - Menanti Dia (Normaslina Masri)

Penantian suatu penyiksaan. Ayat memang keramat yang kalau boleh semua orang tak mahu hadapi. Tapi, penantian itu pun satu ujian. Suka atau tidak. Kadang-kadang ujian itu bukan atas pilihan kita, tidak langsung.

Dapatkan masa muda saya dikembalikan?


Wednesday, 6 December 2017

Antologi Kelip-Kelip Kusangka Api - Mencari Muhammad (Xenia Zinade)

@ bersiaran dari PPAS Seri Manja

Cerpen kekeluargaan yang sedikit sebanyak boleh menyentuh hati mak-mak. Mak-mak, kalau apa-apa berkenaan dengan anak-anak mesti cepat tersentuh hati kan. Lagi-lagi kalau membabitkan kehilangan.

Cerpen inspirasi daripada kisah benar penulis. Meruntun jiwa jugak membacanya.

Friday, 1 December 2017

Antologi Cerpen Kelip Kelip Kusangka Api : Surat Dari Kutubkhanah (Ika4may)

#aca6kkka
Masjid mengumandangkan bacaan Al Quran. Izrail menyelesaikan tugasannya subuh tadi.

Latar dilukis dengan pernyataan dan bukan gambaran.

Angin musim tengkujuh, bawalah rindu ini pergi bersama wajah dia yang masih melekat di hati.

Monday, 27 November 2017

Kelip Kelip Kusangka Api : Tum (Mahizan Husain)

#aca6kka
Hujan. Menikmati karya Bollywood tanpa lagu.

 Siapa orang yang kau cinta?
(Tum)
Orang yang apabila aku tutup mata, aku nampak dia.

Siapa orang yang kau nampak apabila kau tutup mata?
(Tum)
Orang itu ialah orang yang akan aku nampak di Sheesh Mahal.

Tum. Tum. Tum.

Eh..eh..teringat Bobby pulak.

Sunday, 26 November 2017

Antologi Kelip Kelip Kusangkakan Api : Warung Bakso Saka Tok Meon {Tany Leia Harris)

#aca6kkka
gambar kredit : JS Adiwarna
Baca dari depan memanjang tak habis. Kita mula dengan cerpen akhir dulu.

- Falsafah tersirat tentang upaya anak muda
- Kelip-kelip dalam penafsiran minda keusahawanan

"Aku rasa kita dah terlebih over dalam bab lampu ni. Kalau tengok dari dekat boleh kena sawan tengok lampu kelip-kelip seterang ni." Aaron

"Kalau terang macam ni, bukan aje dari kampung sebelah, dari planet sebelah Bumi pun boleh nampak."

cc: Tany Leia Harris

Friday, 27 October 2017

Kecukupan Rezeki

Analogi kecukupan rezeki untuk setiap anak Adam saya gambarkan begini.

Kita ada dua orang anak. Seorang bayi berumur 3 bulan. Seorang lagi kanak-kanak berumur 4 tahun. Keperluan pemakanan bayi tentunya terhad kepada susu dan makanan yang lembut sifatnya. Kita tak boleh bagi bayi makan nasi. Sebab nasi tak sesuai untuk bayi. Nasi sesuai dimakan oleh kanak-kanak.
Kalau kita bagi juga bayi kita makan nasi, kita tahu kita menempah risiko.

Begitu yang diberitahu Allah kepada kita. Diberikan rezeki kepada hamba-Nya menurut kesesuaian bukan kehendak.

Sebagai hamba pula, ada adab yang perlu kita patuhi untuk menjemput rezeki. Saya dah kongsikan adab menjemput rezeki dengan mendoakan orang lain. Juga menjemput rezeki dengan bersedekah.

Adab seterusnya ialah menjemput rezeki dengan zikir. Zikir boleh dilafaz bila-bila masa dan seringkas menyebut Ya Allah.

Imam Al Ghazali sendiri menjadikan zikir tersebut sebagai amalan pada hari Jumaat. Kalau kita belum terbiasa mari kita mulakan Ya Allah...Ya Allah... Ya Allah. Rayu Allah dengan hati hamba, bukan hati manusia.

Mari kita buat pinjaman dengan Allah pulak dan tengok hasilnya. Baca Ya Allah 10 kali dan tekan like. Hehe

Kefahaman saya daripada buku Mudahnya Menjemput Rezeki.

Catatan facebook 26 Okt 2015

Thursday, 19 November 2015

Ulasan Kumpulan Cerpen : Tetamu Istimewa tulisan Mohd Helmi Ahmad

Teks dan Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Kreatif.
*Gambar akan dimuatnaik kemudian.

Tanpa membaca blurb, saya terus menyelak himpuan 15 buah cerpen karya penulis prolifik,  Mohd Helmi Ahmad. Kumpulan cerpen yang diterbitkan ini semuanya telah tersiar di dalam media cetak sekitar tahun 2010 hingga 2012.
Walaupun dinamakan kumpulan cerpen remaja, sya kira pengarang tidak meletakkan khalayak pembaca remaja secara spesifik. Maka ada beberapa buah cerpen berjaya dihadam dan diulas oleh anak lelaki saya yang berumur 11 tahun.

Meskipun dikatakan cerpen remaja, pengarang sama sekali tidak mengabaikan kualiti estetika kepengarangan. Tema-tema yang dibawakan rencam namun memperlihatkan kedekatan pengarang dengan jadi diri keMalaysian (lihat Kuih Bakul Limau Mandarin, Piala Penentuan dan Rombongan Masuk Jawi).  Sekaligus dapat disimpulkan bahawa kumpulan cerpen ini sesuai dijadikan ejen penyatuan kaum di sekolah.

Persoalan yang diangkat agak sinonim dan dekat dengan khalayak seperti seputar dunia perguruan (lihat Kedondong Untuk Cikgu dan Haruan Di Pinggir Sawah), kelihatannya seperti klise namun pengarang masih menjunjung nilai moral yang tinggi dan terakam jelas di dalam kedua-dua cerpen itu.

Saya kira, pengarang sudah menemukan identitinya apabila menguasai aspek adat dan budaya dengan cemerlang. Malah menterjemahkannya pula tanpa terlalu memaksa pembaca sehingga tidak terasa kita sedang menghadam ilmu baru . Matlamat itu dizahirkan jelas oleh penulis melalui cerpen Rancanganku Rancanganmu, Bunga Telur Kenduri Kahwin, Haruan di Pinggir Sawah, Rombongan Masuk Jawi, Pulut Durian Santan Kelapa dan Tetamu Istimewa.  Saya terbau, betapa kerasnya keinginan pengarang untuk memberi kesedaran kepada pembaca remaja mengenai keindahan adat dan budaya Melayu.

Faktor peralihan usia, mungkin menyebabkan penulisan pengarang sudah lebih memokus kepada cerpen yang lebih islamik.  Tanpa terlalu bersyarah atau menghukum, pengarang menggarap mesej dakwah dengan cemerlang di dalam Mohamad Nur Islam dan Tentang Waris.
Menariknya, sepanjang pengalaman saya membaca cerpen, inilah kali pertama, saya gagal memecahkan klu yang dibawa oleh pengarang di dalam cerpen Tetamu Istimewa. Usai membacanya, saya mengetawakan diri sendiri kerana kegagalan itu yang saya kira kejayaan muluk pengarang. Maka bertepatanlah kumpulan cerpen ini diterajui oleh cerpen Tetamu Istimewa yang dianggap ‘mengungkapkan ciri berhias budaya Melayu dalam mendidik anak-anak ketika menghadapi saat-saat sukar diuji dugaan wabak penyakit.’

Bukanlah sesuatu itu sempurna selagi ia dihasilkan oleh manusia. Kerana nyata kekangan kita sebagai manusia adalah asbab untuk Allah memberi ruang penambahbaikkan.  Kedapatan beberapa hal seperti tatabahasa masih terelepas pandang.  Tidak ketinggalan beberapa isu teknikal kepengarangan yang saya kira menagih ketelitian pengarang pada masa yang akan datang.


Istimewanya, Tetamu Istimewa ini, ia tetap mencabar saya dengan perkataan-perkataan baru.  Sehingga membuatkan karya ini sudah menjadi buku nota, lunyai, dan berkelepet di sana sini dan terconteng. Secara keseluruhannya, untuk diri saya kumpulan cerpen ini menepati selera bacaan seisi keluarga. Bukan sahaja untuk remaja.

Wallahu alam

Saturday, 14 November 2015

Ulasan Buku : Janda 916

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Dah lama tak paksa diri baca novel. Dah baca, tak boleh berhenti. Inilah hasilnya. 


Kisah-kisah berdasarkan ibu tunggal atau bahasa biasanya, janda kebiasaannya membawa pandangan skeptical terhadap mereka. Janda, dalam persekitaran kampung biasanya akan digambarkan gedik. Berkebaya ketat, berpayung dan beg jinjit dengan lenggang itik balik petang.

Janda 916, mengalih definisi tersebut secara keseluruhan. Baik secara lahiriah mahupun batiniah. Penulis, menggambarkan Melah @ Mellia seorang janda muda peniaga emas sadur yang berjualan di Kampung Kemboja mengangkat nilai diri janda yang berbeza.  Dia tinggal di kampung tersebut dengan bekas ibu mertuanya (?) dan digilai ramai jejaka, jetua, jeduda (gurau ok). Aura Melah melarut sehingga ke pekan sehingga diintai pula oleh Po Chong, tauke kedai emas 916. Tidak ketinggalan juga, Jelan, pemuda separuh tiang yang selalu ada membantu Melah ketika diganggu.
Penulis kelihatannya sangat bersungguh-sungguh mengangkat citra Melah sebagai wanita kental. Pada kebanyakan ketika, doa adalah kekuatan Melah. Dan, doa itu pula dizahirkan dan relevan pula untuk pembaca berdoa sama. Dugaan demi dugaan yang ditanggungnya tidak mematahkan semangatnya untuk terus berdikari sementelahan sedar diri yang dia anak yatim piatu, janda dan pendatang di kampung tersebut.

Bagaimanapun, penulis tidak membiarkan Melah terlalu hebat.  Melah, masih juga manusia. Ada ketikanya, perlakuan buruk yang dilakukan oleh bekas ibu mentuanya membuatkan hatinya sakit. Ada ketikanya, dia teringat saat-saat manisnya bersama bekas suaminya. Dan, ada ketikanya dia menjadi terlalu garang dengan mengocoh mulut Zara dengan cili api di rumah Kak Gayah dan membalun Pak Sood dengan payung apabila maruahnya dipersenda.

Janda 916 diperkuat pula dengan antagonis-antagonis yang bisa. Berperanan menghuru-harakan hidup Melah dengan matlamat masing-masing yang berbeza. Tetapi, perlakuannya mereka tetap bertujuan menjatuhkan Melah.  Kadang-kadang penulis memberikan peluang kesemua antagonis itu bersepakat membuli protagonist. Babak itulah yang menjadikan pembaca boleh sesak dada.
Pak Sood, digambarkan tua renta tak sedar diri, berlagak muda. Penulis tidak berlebih-lebih menggambarkan Pak Sood. Cukup sekadar beberapa frasa seperti motor cabuk, produk zaman Jepun,  gigi tak cukup, romeo tua. Ditambah pula dengan beberapa babak yang lucu tetapi sebenarnya mendatangkan jengkel kerana di dalam dunia realiti masih kedapatan watak sebegitu.

Zara dan Arief dua lagi watak antagonis yang saling bersaing mempamerkan kejahatan masing-masing. Zara, anak Pak Sood digambarkan lepas laku dan keterlaluan sehingga beberapa kali ‘terlepas’ menggoda Cikgu Ejul.  Perwatakan tipikal janda sudah dipindahkan oleh penulis kepada gadis berusia 24 tahun.  Arief pula, ada ketikanya menggugah perasaan pembaca dengan simpati kerana gila talak. Lebih menyedihkan talak yang dihadiahkannya kepada Melah itu adalah hasil hasutan orang lain.

Penulis juga bijak mentransformasi watak antagonis dan protagonist. Di tangannya, simpati dan benci bersilang pangkah. Ada ketikanya ada rasa marah terhadap Mak Chah yang merupakan master-mind perceraian Arief dengan Melah. Ada ketikanya pula, kita berasa simpati dan insaf dengannya kerana menerima ‘kifarah’ yang bukan kepalang. Begitu juga dengan watak Arief. Ada ketikanya,  simpati mencurah-curah terhadapnya kerana segala yang berlaku, bukan di atas kehendaknya. Bagaimanapun, pada ketika-ketika yang lain, terutama ketika dia menganggu Melah, kebencian yang amat sangat tak dapat nak dizahirkan padanya.

Penulis juga tidak lupa memberikan peranan besar kepada watak sampingan seperti Cikgu Khairil, Kak Gayah, Mak Biah, Sarina dan Po Chong. Kesemua watak-watak ini berupaya menggerakkan keseluruhan cerita dengan menopang watak utama dan memberi warna di dalam karya ini.

Dugaan demi dugaan, terutama dugaan fitnah terhadap Melah mengingatkan saya terhadap kisah yang berlaku kepada Saidatina Aisyah R.A. Saya tidak pasti adakah penulis melakukan rujukan terhadap kisah tersebut. Ia sangat mirip terutama babak suami baru Melah mencari ketenangan dengan menjauhinya sebaik sahaja fitnah tersebut tersebar.  Biasan perasaan tertekan Saidatina Aisyah tergambar dalam watak Melah yang tertekan mencari tongkat kekuatan ketika diri diuji sebegitu.

Penulis mengalirkan plot dengan cantik. Bermula dengan memperkenalkan satu persatu watak-watak dan diselang-seli dengan teknik imbas semula kehidupan Melah bersama Arief dan Mak Chah dan kronologi gangguan Pak Sood, Arief dan Sara. Fitnah demi fitnah, sokongan dalaman dan luaran daripada Jelan, Kak Gayah dan Mak Biah. Elemen-elemen kejutan dan saspen juga disuntik namun ada satu elemen yang tak mampu mengejutkan saya. Orang lain saya tak tahu. Sebabnya, penulis sudah terkucil memberikan klu dan membongkarkan kejutan tersebut di awal-awal bab lagi.
Bagaimanapun, ia tidak menghentikan pembacaan saya kerana ada banyak sebab lagi Janda 916 ini perlu dibaca. Penulis juga tidak lupa memasukkan beberapa tips dan resepi yang digarap secara bersahaja.  Penting, penulis membawa mesej bahawa, setiap sesuatu yang berlaku membawa hikmah yang tersendiri. Sama ada hikmah tersebut dapat dilihat oleh mata manusia yang mahu berfikir, terpulang kepada pemikiran masing-masing.

Tanpa menyelitkan waima sebaris ayat Quran atau hadis (selain doa) penulis menyebarkan dakwah tentang akhlak, penyerahan diri dan motivasi untuk diperhalusi oleh pembaca.  Anda harus baca sendiri karya ini untuk memahaminya. Gaya bahasa yang dibawa penulis tidak terlalu berkerawang. Santai dan mudah dihadam dengan sekali baca. Namun, ceduklah mesej yang hendak dibawanya.

Kesilapan-kesilapan lain yang perlu diperhalusi ialah mengenai perwatakan Jelan. Ada beberapa persoalan yang boleh ditimbulkan terutama dari aspek logika. Bukan kerana watak pemuda separuh tiang itu klise. Tetapi, mungkin penulis perlu menempek lebih banyak perwatakannya  supaya apabila identitinya didedahkan, pembaca akan berkata, ‘eh… takkanlah watak utama tu tak perasan?”

Kebaikan watak Melah yang dianiayai ibu mentuanya, kemudian membawa pula bekas ibu mentuanya tinggal bersama juga boleh dipersoalkan. Adakah manusia begitu dalam dunia? Lebih-lebih lagi, tempoh perceraian antara Melah dengan Arief, tidaklah lama. Bagaimanapun, tempang itu diampu dek naratif  dan dialog Melah sendiri yang masih sukar mengikis rasa marah dan dendam kepada Mak Chah.  Penulis membawa mesej penghormatan kepada orang tua melebihi segala-galanya.
Di kampung tersebut, bagaikan tidak berpemimpin. Antagonis, bukan penduduk kampung pula seperti Arief, boleh sesukanya menyebarkan fitnah, sesukanya menyerang rumah orang lain, pada waktu malam pula. Penulis setidak-tidaknya memasukkan peranan pemimpin sebagai ejen neutral sebagai penasihat luar selain daripada watak-watak terdekat.


Kesalahan ejaan, kesalahan nama watak juga kedapatan dan harap dapat dibetulkan pada cetakan seterusnya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung