Tuesday, 20 May 2014

Mentua Aku Shogun Tokugawa - Bab 3


Jangan lupa baca untuk mendapatkan jawapan bagi soalan kuiz pra-terbit Mentua Aku Shogun Tokugawa. Hadiah-hadiah menarik tajaan Seri Cahaya Online (butik tudung) Abdullah Food, Zaila Mohamad, Syaf Zeef Collection, Jebat Creative dan MZ Secret Soap Subang Jaya 2 untuk menyerikan Ramadhan dan Aidil Fitri anda.
Soalan akan dinaikkan di dalam grup Kafe CMV dan grup NiN
jadi ahli dan anda layak menyertai

kaver cadangan
BAB TIGA (3)

“MA tak menangis masa tinggalkan kau kat sini?” 

Terhenjut-henjut sudah bahu Nayla menahan ketawa, tertunduk, menggeleng-geleng sedikit sambil meleretkan sesuatu di telefon di tangannya.  

“Mahunya tak. Macam Neng Yatimah,” sela Eza sambil mengunyah kudapan yang terlantar di tepinya di atas meja kopi di ruang tamu. Kakinya yang bersalut jeans longgar elok bersengkeling di atas meja empat segi yang dikepung oleh set sofa berwarna coklat itu.  

Akhirnya, Nayla memburaikan ketawa. Faham yang Puan Mariam memang bintang air mata. Selepas ini tiada lagi pengintip bertauliah di laman sosialnya. Tiada lagi ‘Mariam’s Angel’ kerana Eza yang diharapkan selalu untuk mengaksesnya sudahpun bersama-sama Nayla di Kuala Lumpur.

“Ibu kau?” Nayla bertanya merujuk kepada ibu Eza.

“Ibu okey.  Dia tahu anak daranya ni macam mana kan…” Eza menunjuk ke arah dadanya. Tudung bawal rekaan terkini itu ditanggalkannya. Dicampak sahaja di atas sofa bersebelahan.

“Hah! Kau dah tinggal kat KL ni jangan lepas laku. Kalau kau tak nak kerja, tak apa. Tapi rumah ni kau kena kemas.  Kau tahu aku punya undeng-undeng kan?” Tegas Nayla.

“Baik buk…” Eza mengangguk-angguk bagai burung belatuk menjawab di dalam slanga Indonesia.  
kaver cadangan

Beg pakaian bersaiz sederhananya masih tersadai di depan pintu masuk. Eza yang baru selesai SPM sudah lama berkeinginan tinggal bersama-sama Nayla. Puan Mariam yang tidak membenarkan, bukan ibunya. Kehidupan Eza banyak ditentukan oleh Puan Mariam biarpun Eza cuma anak saudaranya. Ibu Eza, Puan Jamilah  pula bukan jenis adik yang berkira berkira lebih-lebih lagi dengan kakaknya.

“Macam mana training kau?”

Training apa?”

“Aik… kau kata tak boleh tunggu aku kat rumah. Ada kursus. Ooh…kau tipu ma eh?”  Eza menggoyang-goyangkan jari telunjuknya.  Ma merujuk kepada Puan Mariam dan ibu adalah gelaran untuk ibunya sendiri. ‘Nayla memang keras hati. Kalau dah tak suka, tiada apa yang boleh mengubahnya.’  Getus hati Eza.

Nayla menyimpul sila di atas sofa bertentangan dengan Eza sambil senyum meleret. Matanya tertancap pada bungkusan di atas meja makan. Eza kemudian mampir ke meja bulat itu, membuka bungkusan itu dan pantas tangannya menghidang. Azan Isyak berkumandang dari surau berhampiran.

“Owh!.. ada masjid kat sini. Jauh tak?”  Eza berteka-teka. Membanding suasana islami di kampung dengan di kota. Mulutnya laju mencicip santapan yang masih di dalam bekas plastik.

“Surau. Kat blok sebelah. Apa tu?”  Nayla tidak dapat menolak sabar, bertanya sambil tertinjau-tinjau. Tetapi masih berdegil untuk berganjak dari sofa.

“Ma bekalkan untuk kau.  Masakan kegemaran kau.”

“Ma? Bekalkan untuk aku? Pelik ni! Selama ni kalau aku balik kampung, tak pernah dia kirim-kirim macam ni. Kalau adapun tu… ‘gulai leter masak ugut.’ Tak naklah.”  Nayla mencebik sambil membetulkan cekak rambut yang mengemaskan semula rambutnya yang serabai ditiup angin. Eza ketawa mendengar istilah ‘gulai leter masak ugut’ itu.

“Sedap apa ‘gulai leter masak ugut’ ma tu… Mengada-ngadalah kau. Apa fasal pula kau tak nak?” Pinggan sudahpun tersedia di tangan Eza.

“Mana tahu dia dah mandrem lauk tu. Tak fasal-fasal aku dapat bengong percuma,” tuduh Nayla. Sesukanya melepaskan kata-kata.

“Ya Allah!  Apa punya busuk hati perut kau ni?”  Eza membesarkan biji mata tanpa lupa menyuapkan ayam masak merah ke dalam mulut lebarnya.
kaver cadangan

“Bukan busuk.  Berjaga-jaga.”  Nayla membela diri.

“Takkanlah ma sanggup buat macam tu?” berdecit-decit mulut Eza mempertahankan emak saudaranya.

“Kau kenal ma lapan belas tahun. Aku kenal dia lebih sepuluh tahun dari engkau.  Aku tahu mak aku, Eza.”

“Kot iya kalau dia mandrem kau, untuk kebaikan kau jugak. Sebab dia dah nasihatkan kau, jangan…jangan…tapi kau degil juga…” Suara Eza semakin perlahan dan menundukkan kepala tapi matanya mengerling Nayla, lebih-lebih lagi apabila dilihatnya Nayla membutangkan matanya. Namun kemudiannya dia menyambung, “lagipun kalau kau baca doa makan, agak-agak syaitan beserta tak?” tanya Eza selajur menyambung, “kau tambah sikit doa mengelakkan santau yang macam Ustaz Don ajar tu…” Tokok Eza lagi. Nayla menelan liur.

“Kau kenal Ustaz Don tak? Aku takut kau tak kenal pulak.” Terbayang di mata Eza pendakwah muda tinggi lampai, berperwatakan menarik, lembut suara walaupun slanga utaranya tidak pernah cicir yang mempunyai pendekatan sendiri dalam menyampaikan ceramahnya.

“Kau ingat aku bodoh sangat ke?”

“Taklah bodoh. Tapi kadang-kadang cerdik kau datang. Baca ayat ni bismillahillazi la yadurrumahasmihi…”

“Oh!  Itu aku tahu…” potong Nayla sebelum Eza menghabiskan bacaannya.

“Kan aku cakap kau ni terlebih cerdik.” Eza memperlahankan kunyahannya mengelakkan nasi tersembur kerana melepaskan tawa. Nayla menunjal kepala Eza sambil mencapai pinggan. Mempraktikkan apa yang diajarnya sebentar tadi. Eza menghadam penuh kosentrasi mengenangkan perutnya sudah minta diisi semenjak petang tadi.
Eza dan keluarganya tiba di rumah itu pada waktu Dhuha. Kunci rumah Nayla ditinggalkannya pada Hanisah di bank. Jarak bank dengan rumah sewaannya lebih kurang lima minit perjalanan. Puan Mariam dan Encik Nasir berkira-kira menunggu hingga waktu Asar untuk berjumpa dengan Nayla. Tetapi Eza tahu Nayla memang tidak mahu bertemu muncung dengan Puan Mariam. Sebaris alasan dan persediaan pelan B seandainya alasan tersedia tidak cukup kuat diterima emaknya, sudah dirancang. Kakak sepupunya yang berbeza warna kulit dengannya itu memang kepala batu. 

‘Yalah, manalah tumpahnya kuah kalau tidak ke pinggan Arcopal Ma,’ fikir Eza.

Cahaya mata Puan Mariam dan Encik Nasir cuma Nayla seorang sahaja. Itulah intan payung kanopi pasar malam mereka. Zuriat mereka yang terdahulu tidak berhasil menjenguk dunia. Itupun terbias kata Nayla adalah anak angkat. Eza pernah mendengar angin-angin menderu apabila perang dingin Puan Mariam dan Nayla mendapat liputan percuma penduduk kampung. Nayla tidaklah popular benar di kampung. Cuma dia termasuk di dalam kategori pelajar pintar dan aktif dalam ko-kurikulum dan menjadi kesayangan cikgu-cikgu. Maklum sekolah kampung, nilaian prestasi tidak dapat disama araskan dengan pencapaian pelajar sekolah bandar. Namun baik ibunya, Puan Mariam atau Nayla sendiri tidak pernah ambil pusing berkenaan khabar angin itu.

“Hujung minggu ni nak ikut aku tak?” Tangan Nayla lincah mengemaskan meja makan. Remah yang bersisa, dikaut dengan tangan. Eza sudah berada di depan sinki, menoleh. Sebaik sahaja pinggan ditatang Nayla beralih tangan, dia cepat-cepat membasuhnya. Selepas itu cepat-cepat juga dia menutup tap sinki.  Berlari mengambil tempat di sofa kembar sambil membanting tubuh.

“Pergi mana?” Tanya Eza kembali sambil mulutnya berdecit-decit berusaha mengeluarkan sisa makanan yang dirasakan terselit di celahan gigi.

“Alumni.”

“Pak Tam adalah tu?” Teka Eza.

“Dia dah merajuk dengan aku.”  Nayla bersuara dalam nada sedih yang dibuat-buat. Eza membesarkan mata sebagai ganti perkataan ‘kenapa’. “Manalah aku tahu.  Kalau kau yang merajuk aku tahulah sebabnya.” Nayla menjungkit bahu.

“Memang malang nasib Pak Tam tu.” Eza seorang sahaja yang memberi gelaran itu kepada Aizat dan hanya dia juga yang tahu kemunasabahannya gelaran itu.

“Kenapa?”

“Dapat buah hati alias batu alias kayu macam kau.”

“Sedapnya mulut kau bercakap.”  Nayla yang masih berada berhampiran meja makan bercekak pinggang. Memandang ke arah gadis berambut pendek gonjeng tetapi bertindik telinganya itu.

“Kau tak pernah dengar perumpamaan.  Merajuk pada yang sayang.  Pujuklah.” Arah Eza.

“Eh! Kau ni umur setahun jagung manis.  Macam-macam benda yang kau tahu ya.”
“Hai… dunia tanpa sempadan. Lagipun aku budak sekolah alaf baru. Ada budak kelas aku dah nikah pun minggu lepas.  Kau ingat tak si polan anak pakcik Jamal?” tanya Eza. Kali ini dia menoleh dengan wajah serba tahu. Tangannya disidaikan di atas penyandar sofa. Nayla melongo. Jamal Pak Tongko? Usai berjeda dia menyambung, “alah..si polan…adik Haideer yang kerja kat Dubai tu.”  Eza menguatkan fakta ingatan kakak sepupunya itu. Nayla mengangguk-angguk.

“ Terlanggar lampu merah, kemalangan. Kenalah kahwin.”

“Teruk ke?”

“Apa yang teruk?” Eza menoleh kembali dengan kerutan di dahi

Accident.

“Teruk. Dah tiga bulan bawa perut.” Eza kelihatan bersungguh-sungguh menerangkan.

Accident? La…kau ni cakap berbelit-belit. Aku ingatkan kemalangan betul-betul.” Marah Nayla.

  Eza melampias tawa. Seronok dapat mengenakan Nayla lagi. Tangannya mencapai alat kawalan jauh dan menekan siaran SBS. Menikmati drama Korea bersiri dan segera terjerit melihat wajah Choi Min Ho terpapar di layar televisyen.
Nayla membiarkan sahaja. Diheretnya beg yang terpinggir tadi ke dalam bilik yang bersebelahan dengan biliknya. Hari ini hari yang memenatkan. Sejak pagi dia memandu keluar tanpa arah. Akhirnya dia memarkir di stesen LRT Bukit Jalil. Mengambil tren ke Kuala Lumpur. Tawaf satu Kuala Lumpur membuang masa. Cuti memang sudah dipohon seminggu yang lalu. Sejak Eza memberitahu dia sudah mendapat lampu hijau untuk tinggal bersamanya di Kuala Lumpur.
Selesai membersih diri, dia menghumbankan tubuh ke atas tilam dengan tuala masih membalut badan. Esok harus kembali bekerja. Dia merengus bosan. Bila sesekali bosan datang membuatkan segala-galanya menjadi tidak keruan dan dia mudah melayan amarah.

“Oi!  Tak senonoh betul. Nasib baik aku ni normal,”  Jerit Eza melihat Nayla tertiarap di atas katil dengan tuala membalut bahagian penting sahaja dan rambut kusut masai.  Lengannya mengalas kepala manakala matanya pejam.

“Dia dah tidurlah ma.”  Eza meletakkan telefon kembali ke telinga. “Betul.  Dia tak buat-buat tidur. Dia pejam betul-betul. Orang tempik kuat-kuat pun dia tak sedar ni.  Letih kot. Training tadi. Esoklah ma telefon dia ya. Bye.” Sengaja Eza meninggikan suara sewaktu menyebut perkataan bermaksud kursus itu. Dengan segera juga menyebut perkataan akhir itu. Nayla memalingkan tubuh dan bingkas bangun. Tuala yang hampir terburai, dibetulkan. Eza menutup mata dengan telapak tangan sambil duduk di bucu katil dengan kaki yang terbuka agak luas. Ibu jari kakinya mengotek-ngotek senang hati.

“Sampai bila aku ni nak jadi posmen pun aku tak tahu,” keluh Eza.

“Sampai bila-bila.” Nayla mencapai baju tidurnya dari dalam almari di hujung katil.

“Argh! Bila aku kahwin esok, aku nak ajak laki aku duduk jauh-jauh dari kau orang berdua. Masa tu kau orang dua beranak nak bertekak, bertekaklah. Aku dah tak dengar.” Rancang Eza.

“Ada ke orang nak kahwin dengan kau?”

“Aku okey apa?  Memanglah tak putih kuning macam kulit kau.  Aku putih coklat. Lawa kan?” Eza melaga-lagakan lengannya dengan lengan mulus Nayla.

“Ya, kau memang lawa…kau kan adik aku,” Nayla merangkul bahu Eza.  Semarak kasih sayang berserakan. Memberi wangi pada pernafasan sillaturrahmi yang sudahpun bertaut dengan pertalian darah.


“Dahlah, aku mengantuk ni. Esok nak kerja.  Melainkan kau nak gantikan aku, boleh jugak,” ugut Nayla.  Eza menjelirkan lidahnya. Melenggang pergi dan menghilang di sebalik pintu bilik. 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung