Gambar : semua gambar ini menceritakan hasil berbudi kepada hobi.
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Mengharungi cabaran dunia yang meletakkan material sebagai keutamaan, kecekapan berfikir secara kreatif dan kritis amatlah diperlukan. Hobi, pada asasnya kita ladeni atas rasa kecintaan yang tuntas. Kita tidak akan berasa jemu dengannya, sentiasa tertunggu-tunggu untuk menikmati masa-masa indah melayani.
Suri rumah, sura rumah dan wanita yang saya hormati yang sedang membaca entri ini. Sepertimana syarat utama mendapatkan roh menulis ialah menulis apa yang kita tahu, begitu juga saat menukarkan hobi menjadi bisnes. Apabila kita sudah mengenal dengan sejelas-jelasnya dengan hobi tersebut, perlaksanaan menjadikannya sebagai penjana kewangan tambahan akan menjadi lebih mudah.
Fikirkan beberapa perkara di bawah sebelum proses transformasi daripada hobi kepada bisnes berlaku sepenuhnya.
- Luangkan masa dengan lebih banyak dengan hobi kita. Hasilkan kuantiti yang setara dengan kualiti.
- Tekal. Jangan malas. Buat secara berperingkat-peringkat. Sebagai contoh, saya menulis satu bab sehari. Saya tidak boleh bertransformasi mendadak dengan menulis 3 bab sehari. Apa yang boleh saya lakukan ialah beransur-ansur meningkatkan hasil muka surat tulisan saya. Kalau hari ini saya menulis lima muka surat, esok mungkin 5 muka surat setengah, seterusnya 6 dan begitu juga seterusnya.
- Hadiri kursus atau seminar yang berkaitan. Walaupun hobi itu 'makanan' anda, tidak bermakna anda sudah menguasai keseluruhan ilmu mengenainya secara total. Orang lain mungkin mempunyai sesuatu yang anda tidak tahu.
- Dapatkan mentor. Selain memberi inspirasi, ia adalah cara terbaik menghasilkan karya yang terbaik dan berkualiti.
- Berada di dalam lingkungan mereka yang sealiran dan berfikiran positif. Sedikit sebanyak ia membantu memberi motivasi dan menyerapkan rasa 'segan', 'iri hati', 'hormat' secara positif.
- Keluar dan promosikan hobi anda.
Wallahu Alam,
Sumber Mike Rini di www.danareksa.com daripada Wanita Juga Boleh Berbisnes, Muhammad Abu Syauqi Banna. 2012. Kemilau Publika. Selangor.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D