Teks : Monalita Mansor
Gambar : Daripada Kamera Telefon Bimbit Sendiri
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Tinggal di rumah bertingkat lima dan berada dalam keadaan terkepung, tidak memberi banyak pilihan kepada saya. Cuaca tidak menentu, kadang hujan sebelah pagi, kadang hujan sebelah petang. Tambahan matahari seakan menyorok di sebalik bumbung tingkat lima yang melambatkan lagi proses pengeringan kain yang dijemur di luar rumah.
Pagi ini, saya bersama anak-anak terpaksa juga mengangkut dua bakul kain untuk dikeringkan di kedai dobi layan diri berhampiran rumah. Jika diikutkan, tidaklah menguntungkan sangat, tetapi untuk khalayak berumah merpati seperti kami, ini sahajalah pilihan terbaik kami ada.
Kedai ini menyediakan khidmat cucian dan pengeringan layan diri.
Ingatkah anda kisah Mr. Bean terminum sabun di sebuah kedai dobi, begitu juga konsep kedai dobi ini. Bagaimanapun, pada sebelah siang sehingga jam 5 atau 6, ada operator yang bertugas kerana ia juga merangkap kedai dobi tradisional.
Bagi orang bujang, mungkin kedai dobi ini lebih praktikal. Sewaktu mesin basuh rosak dahulu, di sinilah rumah kedua kami, dua hari sekali. Tetapi, kain yang dikeringkan memang hangat, dilipat elok-elok, kehangatannya akan bertahan beberapa jam.
Untuk anda yang menghadapi masalah menjemur kain, lebih-lebih lagi pada musim hujan begini, tambahan pula banyak baju kecil anak-anak yang sedang lasak, mungkin boleh mencuba alternatif ini. Sediakan syiling 50 sen banyak-banyak.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D