Gambar: Koleksi Persendirian dan Carian Google
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga
Menyambung catatan perjalanan. Dua buah negeri sudah kami rentasi. Tiba ke negeri yang ketiga, Pahang Darul Makmur, negeri kelahiran saya. Tetapi kali ini kami menjejak bumi yang telah dibuka pada kurun ke 18 iaitu daerah Raub.
Kami tiba di perkarangan Hospital Raub lebih kurang jam 10.00 pagi. Lokasi hospital ini agak terasing daripada bandar Raub. Berada dalam lingkungan kawasan yang kecil dan terdiri daripada bangunan-bangunan lama.
Saya terus menuju ke Wad Perempuan. Mencari sahabat saya, Rodiah. Tiba di katil nombor 13, saya lihat dia sedang tidur. Keletihan terpancar dari desah nafasnya. Soalan pertama yang saya ajukan padanya sebaik sahaja memberi salam ialah "kau ingat aku lagi tak?" dia mengangguk dan berkata "aku ingat." Selepas hampir 20 tahun dan pertemuan di tempat sebegini, hati saya bercampur baur.
Ketika menyentuh lengannya, saya perasan ada sesuatu yang bergerak-gerak, tetapi saya belum berani bertanya. Matanya kekuningan, tanda dia benar-benar tidak sihat. Rodiah pengidap sakit buah pinggang selama hampir 4 tahun.
Saya tanyakan apakah simpton-simpton yang terjadi pada dirinya dia menjawab;
1. sakit kepala yang teramat seperti migrain tetapi urat leher sangat tegang
2. sewaktu mengandung, mengalami masalah kencing kotor
Setelah menjalani pemeriksaan, dia disahkan menghidap sakit buah pinggang dan perlu menjalani proses hemodialisis untuk kesinambungan hidup. Rodiah menunjukkan saya keadaan lengan kanannya. Tempat jarum-jarum hemodialisis itu mendarat. Ada ketulan sebesar penumbuk dengan urat melintang di atasnya sebesar kelingking budak. Di pelipat lengannya terdapat satu motor yang sentiasa bergetar (yang mula-mula saya usik sebentar tadi)
Sungguh, Rodiah di depan saya amat berbeza dengan Rodiah yang saya kenal dulu. Dia dulunya seorang yang lincah, menjadi penjaga gol pasukan hoki sekolah. Ceria, berperwatakan 'boyish' dan agak kasar. Tetapi, hari ini di depan saya, ibu kepada tiga cahaya mata itu, matanya berkaca memohon harapan. Namun saya masih merasakan semangat kentalnya untuk survival demi anak-anak dan suami.
Hari sebelumnya, dia dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung pula. Saya nyatakan padanya, kekuatan semangatnya menjadi teladan dan apa yang berlaku menjadi sempadan buat kami yang masih bugar hingga ke hari ini, insyaALLAH.
Pesannya, sebelum pertemuan terungkai, minum air kosong banyak-banyak. Air barli, atau apa sahaja air yang boleh membersihkan buah pinggang. Buat sebelum terlambat.
weightlossproject.org |
Rodiah dan Hospital Raub, saya tinggalkan dalam pelbagai persoalan yang menyantak fikiran.
Untuk anda, suri rumah di luar sana, yang masih terfikir-fikir cara terbaik mempromosi produk anda, kami menyediakan platform untuk beriklan di hampir 100 laman blog rangkaian SOHO dan WAHM. Untuk maklumat lanjut hubungi saya di sini
atau melalui emel : monalitamansor@gmail.com
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D