Friday, 20 December 2013

Sekolah Akan Dibuka

Teks : Monalita Mansor
Foto :  Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Saya akan terus menulis mengenai persediaan buka sekolah. Mungkin satu ketika dahulu saya tidak peduli sangat kerana saya bekerja. Sekarang tidak lagi kerana hanya suami bekerja dan saya seorang suri rumah. Begitupun semasa saya bekerja dahulu, saya tetap kedekut dengan persediaan pakaian sekolah anak-anak.

Beberapa hari sebelum hari bonus suami, saya akan bersama anak-anak, menyemak semula semua seragam sekolah, mengacu dan mengasingkan. Kemudian, barulah disenaraikan pakaian baharu yang harus dibeli. Bagi anak-anak yang tidak kritikal tumbesarannya, insyaAllah akan mendapat sepasang seorang. Bagi yang kritikal, yang langsung tidak boleh digunakan lagi, dapatlah seorang dua pasang. Kalau ada tambahan, tunggulah bonus emak pula. Kasut sekolah untuk anak bongsu, memang saya serik untuk belikan yang mahal. Dalam satu insiden, dia tertukar kasutnya dengan pelajar lain dan sampai ke sudah tidak ditemuinya. Sebagai denda, saya suruh dia pakai kasut yang kurang kualiti itu dan apabila koyak tapaknya barulah saya ganti.

Mungkin kejam bunyinya, tapi itulah saya. Bila dah tak bekerja, lagilah kejam! (hahaha...ketawa bergaung-gaung sampai dengar ke Gunung Angsi!)

Saya faham kalau anda mahu sediakan sehingga lima pasang - sepasang untuk setiap hari. Terpulang kepada kemampuan anda, tetapi saya minta anda pandang sedikit sahaja ke hadapan. Tidak tahu apa yang akan dinaikkan lagi tahun depan. Apa salahnya kita bersedia dengan bijaksana, sekarang. 

Antara matlamat awal kelas online ini berdasarkan masalah suri yang mengadu kepada saya
-Tidak ada masa untuk hadir kelas offline
-Tidak pandai perkara asas untuk mula bisnes internet, tidak tahu buat email, mahu buat blog, mahu buat facebook
-Tidak tahu macam mana mahu pos barang

PM untuk masuk kelas asas blog dan fan page bisnes

Thursday, 19 December 2013

Debaran Memencak Semangat

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Hari ini 19/12/2013. Hari penting buat calon PMR. Menjelang 10 pagi, kami sekeluarga tanpa Umar tiba di sekolah. Kata kawan-kawan along, keputusan diumum jam 11.00. Pulak. Sambil menunggu keputusan tu, saya dan Ummi pergi ke kedai buku. Melunasi senarai semalam.

Terjumpa seorang cikgu yang juga ibu kepada seorang pelajar sekolah menengah.  Saya sudahpun selesai membeli dan mencuri dengar perbualannya. 
"Yang ini kena beli, puan." Taukeh kedai buku itu menunjukkan perkataan WAJIB di dalam senarai panjang buku-buku yang harus dibeli. Tajuknya Jurnal Pelajar.
"Tak naklah, tak gunapun nanti. Saya cikgu, saya tahulah!" 
"Yakah? tak tahulah saya. Ini katanya arahan kementerian." Kata taukeh itu lagi.

Saya capai buku seakan-akan buku nota itu. Seingat saya tahun sebelumnya ibu bapa dipaksa membeli buku catatan harian. Ia seakan-akan diari yang mencatat tentang kerja sekolah dan kegiatan harian pelajar. Siapakah yang akan memantau semua itu?

Dalam berjimat-jimat, makan juga ratus-ratus. Itupun ada juga buku-buku yang 'belum sampai' atau 'tiada stok'. Tapi alhamdulillah, bagi saya, saya sudah melakukan yang terbaik. Saya mengikut tips yang saya tulis sendiri di dalam blog ini beberapa bulan lalu. 

Sementara itu, keputusan PMR diumumkan dan anak gadis saya meraih 7A 1B. Sebuah kejayaan yang manis buat saya. Anis Suraya Maznum, ibu bangga dengan kamu! Di dalam status FB sempat saya mencoret kisah anak manis ini. Nur Ain Syafira namanya. 
Nur Ain Syafira, tudung putih 8A, Nur Qhosrina 7A IB mengesat air mata sebab maknya dah telefon beritahu keputusan melalui SMS dan Anis.

Ketika keputusan UPSR diumumkan tiga tahun lalu di sekolah sebelah, dia mendapat 4A 1B. Dia meminggir diri sambil menangis daripada sahabat-sahabatnya yang sedang meraikan 5A ketika itu. Saya bertanya padanya, 
"Dapat berapa A?"
"4A IB, mak cik."
"Tak apa. PMR ada lagi."

Dia senyum tawar. Hari ini, dia menangis meminggir juga tetapi setelah mendapat slip keputusan 8A-nya. Sendirian, tanpa ayah dan ibunya. Dia satu-satunya pelajar Melayu yang mendapat 8A di sekolah itu. Saya tahu ibu dan ayahnya bangga dan ada alasan tersendiri untuk tidak hadir.



Saya dekati dia, ucap tahniah dan dia menangis dalam pelukan saya. MasyaAllah, sebaknya saya ketika itu. Tentu dia mengharapkan yang dipeluknya itu bonda dan ayahandanya. Saya sangat terkesan dengan peristiwa ini. Sampai sekarang hati saya masih berkata-kata, entah mengapa.


Sudah lebih 300 blog, 21 kelas, 13 guru online bertugas, kami menawarkan kategori kelas berikut
1. kelas asas blog dan penulisan
2. kelas asas blog dan fanpage mula bisnes
3. kelas belajar iklan mudah.my
4. kelas penulisan kreatif
5. Pendaftaran rakan niaga/pengurus online
6. Pendaftaran kelas urus akuan bisnes kecil/wahm soho bulan Januari




Penunggu Jeram Tengkek

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Mee sudah sekuali digoreng. Tapi destinasi tidak ditentukan lagi. Saya dah suruh anak-anak tanya. Baik anaknya sendiri, mahupun anak saudara kesayangannya, Afiq Haikal yang keletah dan homeh. Encik suami sekadar jawab 'hmm' aje. 

Tiba-tiba sahaja dia muncul dan bertanya,
"eh, kenapa tak siap lagi?"
Saya dan Cik Na, biras saya berpandangan. Nasi belum ditanak. Mee tadi sudah luak separuh. Cepat-cepat nasi ditanak dan lempeng telur disediakan. Dengan terhencot-hencot, saya bantu juga apa yang patut. Cawan, sambal tumis semalam yang dah dihangatkan, tumis sardin semalam semuanya dihangatkan dan diisi dalam bekas. Termasuk juga kerdas, ulam pencuci perut. Hihi

Perjalanan melalui Pertang dan Kg Geylang, membelah banjaran Titiwangsa menuju ke pendaerahan Batu Kikir. Tiada kedapatan perumahan sepanjang mengharung kehijauan alam. Hanya ada satu penempatan orang Asli. Memang kalau melalui jalan itu pada waktu malam, perlukan konvoi berkereta. Kalau sendirian, wallah hu alam.

Kami singgah dulu di rumah mak ngah, emak saudara suami. Teruja dia melihat kehadiran kami dan kami dengan tak malunya meminjam pinggan. (Boleh lupa bawak pinggan! dalam kereta baru teringat). Menuju ke Jeram Tengkek, kami diperlihatkan dengan transformasi masyarakat Orang Asli di sepanjang perjalanan. 

Tiba di air terjun tersebut (di Negeri Sembilan disebut jeram), kami terus mencari lokasi terbaik. Hanya di kawasan cetek memandangkan kami membawa anak-anak kecil. Sambil berendam, saya terjumpa sebatang kayu bengkok yang saya jadikan tongkat. Maka Along menggelar saya Penunggu Jeram Tengkek, lebih-lebih lagi kalau saya berpakaian serba hitam.

Formasi air dan batuan begitu menakjubkan. Itu yang boleh saya katakan. Hati terus melafaz hamdallah, merasa kerdil diri. Yang terpele'ot mungkin urat kecil mungkin sebesar cacing tanah sahaja, tapi apa yang mampu saya lakukan? tak ada apa-apa!

Wallah hu alam.

Rangkaian blog kami sudah menjangkau sehingga 340 blog. Beriklan dengan kami dengan kadar pakej serendah RM50. Hubungi saya untuk maklumat lanjut. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung