Teks : Monalita Mansor
Gambar : sendiri
“A
|
ku terima nikahnya Noor Asweeta binti
Kamaruddin dengan mas kahwinnya 22.50 ringgit tunai!”
Senafas dia melafaz, serentak kata-kata,
‘sah’, keluar daripada mulut Atuk.
Gembirakah aku? Menitis air mata
daraku tatkala ini? Girangkah hatiku
menanti tiba suami menyarung cincin menyempurnakan adat membatal air
sembahyang?
Tidak!
Jawapannya tidak. Aku tidak
pernah bersetuju dengan perkahwinan ini.
Hijrah Kamarulzaman muncul di muka pintu bilik dengan senyuman
manis. Diiringi ibunya yang berwajah
sendu. Pandangan kami beradu. ‘Kita mangsa keadaan!’ Hatiku menjerit.
Sebentuk cincin belah rotan tersarung dan
itu sahaja. Tiada kompang, tiada
bersanding berarak. Aku kemudiannya
menyertai yang lain keluar dari bilik tanpa pengapit. Menghadap jamuan yang seperti kenduri tahlil
100 hari kematian layaknya.
Nenek yang kukasihi dan perancang hari indah
untukku ini juga duduk menghadapi hidangan bersama kroninya. Tiada sebarang reaksi di wajah
berkedutnya. Kehadiranku di situpun seolah-olah
dinafikan. Aku bersama-sama ibu Hijrah
yang kulihat menyuap lambat-lambat.
Selambat hatinya menerima kenyataan ini.
Alangkah bersalah hatiku melihat wajahnya!
Kenduri doa selamat dengan hidangan tidak
sampai sepuluh dulang itu pun berakhir. Aku mencapai beg yang kusiapkan sejak semalam
dan membonceng Hijrah balik ke rumahnya.
Marah?
Orang gila sahaja yang tidak marah diperlakukan begini. Anak haramkah aku? Tidak! Anak tirikah aku? Tidak.
Aku cucu halal Hajah Ramlah dan Haji Manaf, imam masjid Kampung Tersusun
ini. Emak, ayah di mana? Entah.
Itu yang aku tahu walaupun aku teringin benar ingin tahu. Apa yang melukakan sangat hati nenek sehingga
segala tindak-tandukku seakan arang yang menghidupkan api dendam. Bara kesumat.
II
“Aku minta maaf Dung…” Hijrah baru selesai
mandi tetapi sudah lengkap berpakaian.
Acapkali dia mengelap rambut yang mencecah
bahu. Berdua-duaan begini
merimaskan. Di dalam bilik yang sempit
dan terpengap begini. Bukan masalah
sempit. Masalahnya aku bersama Hijrah. Hijrah Kamarulzman. Teman baik yang kini jadi suami.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D