Teks : Monalita Mansor (5)
Gambar : Carian Google dan Puan Rohani Deraman
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Saya teruskan kepada tips untuk suri rumah tangga yang mahu menjadi penulis sepenuh masa yang kaya dan berjaya. Apa yang perlu dilakukan ialah memperuntukkan masa untuk menulis.
Sebagaimana insan lain, insan bergelar suri rumah ataupun penulis diperuntukkan oleh Pencipta kita 24 jam sehari. Walau insan itu kaya raya, duit berkepuk, isteri jelita, suami tampan, anak umpama keretapi, dia tetap hanya diberi oleh Allah 24 jam. Tidak lebih dan tidak kurang. Itu adalah anugerah tidak ternilai buat manusia yang mahu memikir dan bersyukur.
Rohani Deraman seorang isteri, ibu dan nenek yang turut mengasuh cucu. Namun pada tahun lepas, beberapa novel daripada beliau terluncur dengan megah di antaranya Atas Lantai Takdir dan Lukanya Merah. Itu tidak termasuk novel-novel lain yang pernah beliau hasilkan seperti Jihad Mardiana, Jogho Yang Tewas dan banyak lagi.
Beliau menggunakan teknik 'mengambil kesempatan di atas kesempatan' - pada waktu pagi, sebaik sahaja jadual pagi bermula dan semua orang keluar bekerja, dia akan memulakan tugasannya. Menulis sehinggalah kedengaran suara cucunya mencari neneknya. Beliau akan berhenti seketika, menyediakan sarapan dan menulis semula ketika cucunya sedang 'leka'. Dalam masa yang sama beliau akan 'menyambil' menulis ketika memasak dan melayan cucu.
Waktu petang adalah waktu santai yang akan dihabiskan bersama cucu dan keluarga. Manakala pada sebelah malam kebiasaannya beliau akan tidur dahulu berikutan faktor usia, katanya. Beliau akan bangun semula pada jam 1 pagi, usai Isyak dan solat malam, beliau akan menulis sehingga ke subuh. Begitulah rutin seorang Rohani Deraman. Mahu mencuba?
Manakala bagi Nisah Hj Haron, seorang penulis, penterjemah, pembimbing bengkel, dan nama besar di dalam bidang penulisan Malaysia memberikan petua kepada penulis agar menulis secara konsisten tetapi tidak mengambil masa yang lama. Sekadar peruntukan sejam tetapi sejam itu merupakan masa yang berkualiti.
Jadikan masa menulis itu masa indah dan anda bahagia melakukannya. Anda melompat masuk ke alam sebelah sana dan anda bergaul dengan watak-watak anda sebaik mungkin kerana masa yang anda ada sangat terhad.
Bagi diri saya sendiri, saya membahagikan blok masa kepada 4 bahagian. Pagi adalah waktu yang paling nyaman untuk menumpahkan idea ke dalam bentuk naskhah, maka waktu pagi digunakan untuk menulis blog atau cerpen atau novel. Bertolak kepada blog yang kedua, saya sudah memasuki fasa sedikit santai kerana pada masa yang sama perlu memberi fokus kepada periuk dan belanga.
Petang dan malam, saya juga melakukan seperti Puan Rohani, menyambil dan mencari masa yang sesuai untuk menulis. Bagaimana dengan anda? Jangan terikat dengan stail orang lain, menulis dengan perasaan selesa dan gembira.
Pesan saya, tulis yang baik-baik sahaja.
Kelas Asas Blog memperkenalkan satu lagi pakej baru iaitu Upah Buat Blog. Yuran dikenakan sebanyak RM200 dan anda tahu blog anda siap sahaja. Siapa yang teringin dan bersedia, jemput PM saya di facebook.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D