Monday, 1 December 2014

Aku Berhak Bahagia Bahagian 1

cerpen tersiar di dalam majalah Keluarga, November 2014
Aku (1)

AKU mengutip serpihan kaca yang bertaburan di hujung kaki. Satu persatu sambil cuba menyapu lelehan darah yang mulai membanyak di birai belakang kaki. Sedikit demi sedikit, rasa pedih dan perit kian memanjang. Aneh sekali ia merebak sampai ke hati. Aku topang tubuh dengan bawah tapak tangan untuk bangun semula. Dia sedang berdiri, berdepan dengan sinki. Dadanya yang membusung itu kelihatan turun naik, laju larian nafasnya seumpama menakung amarah yang belum berakhir. Pandangannya lurus memanah sehingga ke luar tingkap dapur. Namun aku tahu ekor matanya ingin melihat reaksiku.
Ternyata, kepedihan itu semakin memijar. Mahu aku tinggalkan kaca-kaca ini, yang entah berserak hingga ke mana, bimbang dipijak cucu-cucuku nanti. Bukankah lagi hingar dibuatnya nanti? Terhencot-hencot dan berhati-hati, aku cuba mencapai penyapu di antara peti sejuk dengan mesin basuh. Cecair merah itu kian galak menitis.
“Sinilah!” Dia mengambil penyapu dan penyodok sampah di kedua-dua belah tanganku. Lebih kepada perbuatan merampas sebenarnya. Serpihan piring selebar tapak tangan cucuku yang belum lepas dari tangan tadi, aku campakkan ke dalam tong sampah, sebelum masuk ke dalam bilik, menguruskan lukaku ini.
“Allah…” Spontan bibirku mendesahkan pengaduan sebaik jasad aku labuhkan di atas tilam bujang di sudut bilik ini. Aku capai tuala kecil yang tergantung di tingkap dan kutekap sahaja pada punca lelehan tadi.
“Ami…” suara kecil memanggil namaku sebaik pintu bilik ditolak. Rambutnya terurai lepas, terbuai mengikut gerak tubuhnya. Bahagian depannya lurus menutup dahi. Perlahan-lahan dia mendekatiku.
“Kenapa mama marah ami?” tanyanya jujur, dengan matanya tidak lagi kepada mataku tetapi terus pada tuala yang memekap kaki yang mulai memerah. 
“Farah nampak ke tadi?” tanyaku pula. Berderau darahku mendengar teguran berupa soalan daripadanya itu. Sudah tentu sekejap lagi bibir mungil itu berceloteh dan menceceh tentang kejadian tadi kepada papanya, menantuku. Itu yang aku kurang gemar.

Aku (2)
Aku ini terlalu mengongkongkah? Aku ini keturunan harimau bintang dikacuk singa Afrika kah? Tidak. Aku ibu, dia pun ibu. Sepatutnya dia memahami naluri keibuan milikku yang pernah dimilikinya. Atau mungkin naluri itu sudah lama hilang semenjak dia melangkah tangga pertama bas dan meninggalkan kami, adik-beradik puluhan tahun dahulu?
“Mak nampak kan, Farah memang salah kan? Kenapa mak nak bela dia?” Tercabar hakku sebagai ibu Farah apabila mak tiba-tiba membela benar cucunya itu. Benarlah kata orang, temali roh penghubung cucu dengan nenek memang berhantu. Silap haribulan memakan diri. Nyata, sekarang ia sedang melupuskan kehadiranku sebagai ibu yang berhak terhadap Farah.
“Sepuluh kali nak mengajar anak, tak payah ditengking-tengking begitu!” bangkang emak.Itupun setelah emak berjaya mendiamkan Farah yang tentunya mengadu padanya tadi.
“Mak percaya sangat cakap Farah tu kenapa? Saya suruh dia siap, mandi…pergi mengaji…salah saya ke?”
“Budak-budak tak pandai menipu, Fida. Kalau Fida cakap elok-elok, tak disakitkan, Farah mesti dengar punya…”
“Argh! Farah tu memang mengada-ngada!” getusku. Pisau di tangan, aku campakkan ke dalam sinki. Sakit hati seumpama pisau itu sudah tercacak di dadaku. Panas meruapkan rasa benci dan meluat mendengar perkataan yang aku kira berupa sindiran itu.
“Sejak mak datang sini… Farah tak nak dengar lagi cakap saya!”
Aku memang bencikan dia! Tidak dapat aku lengkungkan bibir walau seketika untuknya. Walaupun untuk berpura-pura gembira dengan kehadirannya. Benci! Benci! Aku minta dia datang ketika aku berpantangkan adik Farah. Itu sahaja. ‘Selepas itu terbanglah ke mana kau mahu.’ Selama ini pun, dia lepas bebas berterbangan tanpa pedulikan aku dan adik-adik. Selepas memahami perkataan ‘cerai’ sebagai maksud perpisahan antara dia dengan abah, aku hanya melihat wajahnya dalam gambar ditunjuk abang, kemudian bertemu setahun sekali.
“Fida jangan berkasar dengan anak-anak, tak baiklah. Nanti anak-anak terikut-ikut. Membentak-bentak…tak ba…”
“Argh!” Aku tidak ingin mendengar suaranya yang lunak tapi kukira beracun itu. Suara yang berpura-pura. Semua yang ada pada dirinya hanyalah lapisan busana pentas yang disarung dan kelihatan sangat hebat sehingga semua tertawan. Hingga semua mulut dan mata melopong melihatnya.
Bunyi deraian kaca mengejutkan aku. Tidak aku sedari bila piring di dalam sinki itu melayang sehingga tiba di hujung kakinya. Tubuh tuanya sedang terbongkok-bongkok mengutip serpihan kaca. Padan muka! Aku tidak ingin memandang mukanya. Kalau boleh ingin membiarkan sahaja dia terhegeh-hegeh dengan wajah memohon simpati di situ. Dia tidak bersuara, aku tahu dia sedang menahan amukan perasaan yang membadai di dalam dirinya. Aku tahu dia begitu, tiada decitan suara saat dia menahan marahnya. Tiada sebarang kata akan dilontarkan tanda dia sedang berusaha memujuk hati untuk membentengi perasaannya tatkala ini.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung