Gambar :
Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.
Semalam, balik kampung. Saat berlalu pulang ke Lembah Kelang, ayah menjenguk dari muka pintu, melihat kenderaan kami bergerak.
"Pandanglah ayah tu. Tengoklah aki tu. Mana tahu, itu pandangan terakhir dia."
Wah, perkataan encik suami menyentap hati betul. Ya, ayah memang uzur. Umurnya baru 74 tahun, namun keuzurannya jelas nyata apatah lagi setiap hari perlu meladeni emak yang hilang penglihatan, 20 tahun lepas. Ragam dan telatah emak kadang-kadang saya tahu, meletihkan dia. Namun, mahu tak mahu dia reda.
Dia bukan ayah kandung saya. Dia ayah angkat yang mengangkat saya semenjak saya lahir. Semenjak kecil, saya memang rapat dengan ayah. Mungkin kerana masa tu, emak bekerja dan masa saya lebih banyak bersama ayah. Emak bekerja shift dan ayah pula bekerja sebagai buruh kem dan waktunya lebih banyak terluang pada waktu siang berbanding emak.
Mungkin saya sedikit tidak adil, kerana dalam banyak hal, saya tidak boleh sebulu dengan emak. Biarpun sehingga sekarang, dalam keadaan emak yang kurang upaya, simpati saya pun masih tidak sekuat simpati pada ayah. Bolehkah anak memilih kasih begitu? Entah, anda tidak berada di tempat saya dan kontroversi demi kontroversi dengan emak membuatkan kami sedikit renggang. Tapi, saya tetap sayangkan emak dan ayah.
Di dalam ketuaan ini, masih banyak perkara yang menguji mereka. Saya tidak mampu mengulas banyak. Cuma mendoakan rahmah, taufik dan hidayah Allah sentiasa menjadi milik mereka. Seandainya saya pergi dulu, saya mohon mereka ampunkan saya.
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D