Gambar : Koleksi Peribadi
Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.
Tajuk asal Kabus Rindu sebenarnya ialah Bondaku Besan Ratu. Terhasil daripada cita-cita besar penulisnya nak bermenantukan kerabat di raja. Berikut sebahagian sedutan;
“MANA bekal yang Mama suruh bawa
tadi? Habis tak?" Suara mamanya kedengaran dari arah dapur sebaik sahaja dia
menolak pintu utama rumah.
“Ada dalam beg tu,” Zaweeya meletakkan beg sekolahnya di atas
meja makan. Terus ke dapur. Menyalami mamanya dan menjenguk apa yang ada
di atas dapur.
“Habis tu, tak reti nak bawa ke
sinki. Basuh. Nak tunggu benda tu jadi tempe dalam beg
kau?” Dush! Satu tumbukan terasa mengena pipi. Kalau Zaweeya tahu, tidak mahu dijawab soalan
tadi.
“Besok, Mama tolong tapaukan tiga
ya. Ain dan Budiwatipun nak juga. Mereka kata nasi lemak tadi sedap,” puji Zaweeya
jujur.
Bab memuji masakan mamanya, dia
tidak pernah berbohong. Sup ayam,
biarpun sekadar bawang dan halia dicampak-campak ke dalam periuk, di tangan perempuan
berasal dari daerah terkering di Malaysia itu menjadi sangat enak di tekaknya.
Tetapi bab menolong mamanya di
dapur, dia awal-awal mengangkat bendera putih.
Memasak bukan kemahiran dan bukan juga kegemarannya. Hanya Zareema dan Zakeeya yang mampu berlama-lama
dengan mama di dapur. Bila tiba
gilirannya, setakat masak air, bolehlah.
Selain itu, dia lebih rela membantu papanya mencuci kereta. Biarpun kadang-kadang Azhari juga membebel, basuhannya juga tidak bersih.
“KAU ni…aku tak fahamlah. Kalau Keeya masuk asrama nanti,
terkontang-kantinglah mama seorang-seorang kat dapur. Kalau bab makan, kaulah orang yang paling
laju,” marah Zareema ketika dia perlahan-lahan mengangkat punggung untuk
meninggalkan ruang dapur. Langkahnya
terhenti.
“Diakan nak kahwin dengan anak
raja. Sebab tu dia berlatih dari
sekarang. Tak payah belajar masak. Tak payah belajar mengemas. Bila dah kahwin esok, rumah besar. Susah nak kemas. Suruh orang gaji kemas,” sindir Hidayati. Zaweeya dengan muka selamba berdingkit-dingkit
mahu meninggalkan ruang dapur.
“Mama rasa mama nak pulangkan dia
balik pada mak angkat dia,” ujar mama mereka sambil membasuh pinggan di
sinki. Membelakangi mereka semua.
“Yaya ada mak angkat, mama? Kenapa?
Kenapa Mama tak bela dia? Dia
jahat sangatkah masa kecil dulu?”
Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Zakeeya.
Satu berita baru yang baginya sangat
mengejutkan. Zareema yang sedang
mengeluarkan bahan-bahan basah untuk dimasak dari peti aispun menghentikan
perbuatannya. Tekun untuk mendengar
penjelasan.
“Ha’ah, mama tak pernah cerita
dengan Reemapun. Sejak bila pula Yaya
ada mak angkat?” Zareema menarik kerusi
dan duduk berhampiran Zakeeya yang mengupas bawang merah. Zaweeya juga berpaling semula. Letusan kata dari mulut wanita itu bagai bom
jangka. Meledakkan debaran maha hebat di
hati.
“Ada. Dah lama mama simpan rahsia ni. Mama ingat nak beritahu kemudian. Sebab Reema dah ungkit, biar mama
cerita,” Hidayati berpaling. Terpamer kerut duka di wajahnya.
Dengan wajah penuh dramatik merenung
ketiga-tiga anak gadisnya. Ketiga-tiga
gadis itu juga merenungnya dengan penuh harapan. Sinar mata masing-masing bagai tidak sabar
menanti luahan kisah benar dari mulut mama mereka.
“Kenapa Mama? Kenapa Mama berikan Yaya pada orang lain? Kita susah sangatkah masa tu?” Zareema bertanya dengan nada sedih.
Manalah tahu saat dia membesar, ada
kesusahan yang melanda keluarga. Yang
dia sendiri ingat-ingat lupa. Ataupun Zaweeya
memang jenis anak yang ’panas’, Tidak
serasi dengan ibu sendiri. Kebiasaan
orang-orang Melayu dahulu, menyerahkan anak kepada orang lain untuk
’diangkatkan’ atau ditukar nama agar anak itu kembali sihat. Sehinggakan dia diserahkan kepada orang lain
untuk dijaga. Tetapi, kenapa sekejap
sangat? Seingatnya pula, sepanjang
hidupnya tidak pernah pula Zaweeya hilang dari pandangan matanya.
“Betul, kau orang semua nak tahu
ni?” Hidayati tersenyum simpul.
Dalam hati sudah tidak mampu menahan
kelucuan yang menggigit tangkai hati.
Melihat gelagat tiga anak gadisnya yang bermuka cemas. Kenyataan yang mereka saling menyayangi memang ketara jelas. Mengongsi kisah duka saudara tengah mereka
itu.
“Mak angkat Yaya ada dua orang…”
“Ramainya…,” sampuk Zakeeya.
Zaweeya meletakkan jari telunjuk di
bibir. Meminta Zakeeya agar tidak
menyampuk. Rasa ingin tahu tentang kisah
duka masa silamnya membuak-buak.
“Seorang namanya Siti Fernleaf. Seorang lagi Siti Dutch Lady,” Hidayati bersuara lirih. Sedih benar.
Zakeeya, Zaweeya dan Zareema
berpandangan sebelum ketawa Zareema pecah.
Tidak tertahankan.
Terhinggut-hinggut bahunya. Air
mata spontan keluar mendengar mahakarya lawak mamanya.
“Kenapa nama dia pelik sangat? Mak angkat Yaya tu orang Inggeriskah, mama?” Zakeeya bersuara kembali. Ketawa Zareema dan Hidayati yang baru reda,
menjungkit kembali. Wajah Zaweeya sudah
mencuka.
“Ya, seorang dari New Zealand. Seorang lagi dari Belanda. Sebab tu, tiap
kali mama panggil, dia jawab mmmm…” Zaweeya
terus bangun meninggalkan mereka.
Hendak dimarah, mama. Hendak dipulas
telinga, seorang kakak dan seorang adik.
Dengan hati yang berapi, dia meninggalkan ruang dapur yang terasa
membahang itu.
Ketawa Hidayati dan Zareema sudah
disertai sekali dengan ketawa Zakeeya.
Setelah diberitahu Reema identiti sebenar ibu angkat Zaweeya tadi. Hidayati menahan perut yang senak akibat
ketawa.
Antara faktor kedegilan anak-anak
adalah kerana tidak disusukan dengan susu ibu semasa kecil. Akibatnya, anak-anak mengikut perangai lembu
yang sukar mendengar kata. Pencerahan
itu didengar Hidayati dari sedutan siri Motivasi Pagi di Radio Ikim. Dibicarakan
oleh Ustaz Haslin atau penceramah yang mendapat jolokan Ustaz Bollywood kerana
keunikan cara penyampaiannya.
Nota : Awalan 'swa' bermaksud sendiri - swadaya - daya sendiri
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D