MENGUAK TIRAI ITU
S
|
alam
Maal Hijrah. sekadar satu catatan pelepas rindu seorang wanita terhadap
kekasih Allah yang memungkinkan rahmat Allah tersebar ke seluruh alam.
Semoga rahmat Allah bersama dengan penghijrahan hati kita di Muharram
yang baru ini.
“Adanya kita orang perempuan ni, tak lari daripada rasa
cemburu.” Aku membuka kata biarpun aku lihat dia bagaikan endah tak endah
kata-kataku. Entah apa yang melayar di cepu kepalanya. Bayi yang
tak sampai sebulan umurnya di dalam pelukannya merengek. Lapar susu
barangkali. Tetapi tidak juga mengalih perhatian perempuan muda itu yang
lurus pandangannya ke depan.
Aku menyimpan mop yang sudah kurasa hampir kering diperah. Sibuknya
pekerjaan mencuci tandas ini hanya di awal pagi dan petang saat jarum minit
mencecah waktu akhir bekerja. Selain itu, aku hanya duduk-duduk di meja
ini. Menunggu manusia-manusia yang melantingkan dua puluh sen untuk
melepaskan hajat masing-masing.
Perempuan muda itu kuamati semenjak pagi tadi duduk di perhentian bas
itu. Sebaik sahaja aku sampai, sebaik sahaja tandas yang beraturan satu
persatu aku cuci, dia masih lagi di situ.
Aku mengagak ada sesuatu yang tidak kena sama ada di hati atau di akal
fikirnya. Lamunnya jauh mencecah awan hingga membiarkan bayinya
melolong-lolong walaupun berada di dalam dakapan. Aku teragak-agak untuk
mendekat. Bagaimanapun belas hati lebih mencengkam rasa mendengar
tangisan bayi itu.
Perempuan muda itu mengikut bodoh sahaja. Bagaikan dirinya tiada di
situ. Yang ada cuma jasadnya. Aku tanyakan di mana susu bayi itu
sebaik sahaja dia duduk di atas kerusi di dalam bilik kecil berhampiran tandas
awam yang menjadi pejabatku itu.
Katanya bayinya menyusu badan. Tanyaku kenapa tidak
disusukan? Barulah dia bagaikan terjaga menyusukan bayi biarpun aku lihat
bahagian depan bajunya sudah lencun dek susu dan baunya hanyir sekali.
Aku
mengagak lagi. Perempuan ini bermasalah. Kalau tidak dengan suami,
pasti dengan keluarga. Kalau tidak, apa bodohnya perempuan Melayu yang
masih di dalam pantang, dalam keadaan begini. Aku hulurkan bekal yang aku bawa
tadi. Nasi goreng hutan, gurau suamiku. Ikan bilis tak ada,
sayurpun tak ada, daging dan ayam jauh sekali.
Yang ada hanya nasi yang digaul dengan bawang merah dan
bawang putih yang ditumis. Juga air teh di dalam bekas air mineral.
Sepatutnya perempuan di dalam pantang, makanannya hanya nasi putih dengan ikan
bilis digoreng tanpa minyak. Bergaul lada hitam. Tetapi, aku tetap
dengan agakanku yang perempuan muda ini kelaparan. Aku hulurkan
sahaja. Dia menyambutnya dengan matanya terkebil-kebil. Bagai
mengucapkan terima kasih.
Aku
tinggalkan dia seketika. Aku menjenguk ke dalam tandas. Manalah
tahu ada air yang terlalu bertakung, harus segera dikeringkan. Jika tidak
membahayakan pengguna. Aku menolak pintu tandas satu persatu.
Tabiat pelik masyarakat Malaysia adalah tidak mahu menarik ‘flush’ sesudah
menggunakan tandas. Sekiranya pengguna seterusnya bermentaliti sama,
bercampur baurlah aneka bau dan warna yang meloyakan.
“Awak nak ke mana ni?” Aku mula memberanikan
diri.
Melihat dia menyudahkan suapan terakhirnya.
Bayi yang kekenyangan tadi sudah lelap. Diletakkan sahaja di atas
simen sejuk beralas kain napkin. Begitu sahaja.
“Tak tahu, kak… saya tak tahu. Yang saya tahu, semua
orang tak sukakan saya. Semua orang nak halau saya. Tak suka tengok
saya,” bicaranya pecah dalam detakan rasa yang bergentayangan.
Menggambarkan kegalauan emosinya. Aku ingin menyentuh tangannya.
Menenangkannya. Tetapi, aku tak berani.
“Suami adik sayangkan adikkan..” Aku berani pula
bermain teka-teki ini. Pada anggapan aku, meroyannya perempuan disebabkan
oleh suami. Tekanan adalah unsur luaran. Unsur dalaman adalah rasa
tidak puas hati terhadap suami.
“Dia tahu saya dalam pantang. Tapi dia balik ke rumah
isteri tua dia. Pada siapa saya nak harapkan, kak. Keluarga dah
buang saya. Budak ni asyik melalak. Badan saya sakit. Semuanya
menyakitkan kak…sakit hati saya ni kak. Sakit…. Sakit…!” Dia
menekan dadanya sendiri menggambarkan rasa sakit itu terlalu dalam. Ada
air mata di tubir matanya.
Di mana kekuatan itu saya peroleh, saya tidak tahu.
Tiba-tiba sahaja dia berada di dalam rangkulan saya.
“Suami adik ada lagikan? Masih hidupkan?”
Dia
mengangguk.
“Kalau adik marah, adik cemburu. Setidak-tidaknya dia akan ada di depan
mata adikkan?”
Dia mengangguk.
“Keluarga adikpun masih ada kan? Mak, ayah?”
Dia mengangguk.
“Setidak-tidaknya
adik masih ada peluang untuk meminta maaf. Kalau mereka tak maafkan, tak
mengapa. Adik dah minta maaf. Adik nak dengar cerita kakak?”
Maka, akupun mulai mengambil tempat paling selesa.
Membuka ceritera yang ku ulang-ulang pada sesiapa juga yang mahu
mendengar. Kalau suamiku mendengar lagi, tidaklah sampai aku dituduh
gila. Cuma memujuk aku dengan perkataan ini. Sabar.
Aku baru sahaja mengenali dia. Walhal dia sudah lama
berlegar-legar di sekitar diriku sejak dulu lagi. Dahulu aku
sombong. Sombong benar. Sekadar mengingat dia pada waktu-waktu
tertentu. Aku menarik nafas. Sejak umur semakin meningkat, mudah benar
diserang mengah. Badanpun tidak seramping dulu. Makanya,
lemak-lemak tidak mahu menghindar.
Aku peringatkan kepada perempuan muda itu. Aku
kisahkan cerita ini hanya pada yang mahu mendengar. Kalau dia cemburukan
isteri tua suaminya, aku cemburukan seorang isteri yang menjadi idam-idaman
semua lelaki di dunia ini. Aku cemburukan gadis kecil yang menjadi isteri
pada usia yang sangat muda dan dara.
Aku
cemburukan masa-masa indah yang diperolehi bersama suaminya. Bermain
kejar-kejar dengan suami yang ketika itu sudah berumur dan orangnya cantik
berkulit kemerah-merahan. Lebih aku cemburukan, saat kematian suaminya adalah
di ribaannya. Setiap kali aku teringatkan itu, aku menangis.
Kerana
itu, sengaja aku tidak buka cerita-cerita mengenai dirinya. Seorang wanita
hebat sebaris kehebatannya dengan para ulama. Seadanya aku wanita biasa
yang sangat cemburu. Tetapi cemburuku ini lebih parah.
“Lebih parah, adik.” Aku memberitahu. Lalu
bagaimana aku hamburkan rasa sakit hati ini. Kepada siapa?
Aku sangat cemburukan dia kerana dia mendapat suami yang
wajahnya lebih indah daripada bulan. Tidak tinggi dan tidak rendah.
Ketika berjalan, tubuhnya tegap bagaikan menuruni tanah yang landai.
Kalau suamimu itu kau kongsi bersama dengan seorang lagi perempuan yang kau
panggil isteri tua, wanita itu mengongsi suaminya dengan sembilan lagi wanita
yang dipanggil isteri tua. Lalu bagaimana hendak dicerna rasa cemburu
itu.
“Sebutlah patah-patah ini. Allah!” Aku mengajar
perempuan muda itu. Semoga dengan ingat-ingatan itu, menjadi doa agar
ketenangan menyusup masuk perlahan-lahan ke dalam dadanya. Kerana janji
Allah itu benar. Setitis ingatan buat Allah, dibalasnya dengan selautan
rahmat. Maka rahmat Allah yang mana hendak kamu dustakan?
Aku terus melanjutkan cerita. Bahawa saya mencemburui setiap detik yang
dilalui wanita itu sepanjang hidupnya dengan suami tersayangnya. Dapatkah
adik bayangkan bagaimana rasanya saratnya rindu dan cemburu itu.
Aku cemburukan dia kerana dia mendapat suami yang sangat sederhana.
Kezuhudannya kepada elemen-elemen duniawi berada di tingkat yang paling
atas. Makannya hanya roti bercicah cuka. Perginya sekadar
meninggalkan beberapa helai jubah walaupun hakikatnya suaminya itu pemimpin besar.
Pemimpin keluarga dan pemimpin hati.
“Adik rasa saya gilakah?” tanyaku. Perempuan
muda itu menggeleng-geleng. Dia menyuruh aku meneruskan cerita.
Maka akupun bercerita lagi.
Lebih menjadikan cemburuku meruap-ruap, wanita ini mendapat
pembelaan daripada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Saat dia
teraniaya dek fitnah, sedang suaminya juga diamuk badai curiga, turunlah ayat
memberitahu apa yang berlaku itu sekadar kata celupar daripada hati yang busuk
milik Abdullah bin Ubay.
Lalu siapakah yang lebih hebat penanggungan cemburunya
dibandingkan diri adik dengan diriku.
“Adik rasa saya gilakah?” Aku bertanya.
Perempuan muda itu menggeleng-geleng.
Aku menyuruhnya terus mengulang-ulang patah perkataan
yang aku sebut tadi. Aku katakan padanya lagi, kalau saya ini mampu
mencipta mesin masa, aku akan cipta mesin masa dan kembali merebut cinta lelaki
agung itu daripada perempuan yang aku ceritakan sebentar tadi.
“Lalu apa yang adik kisahkan dengan kasih seorang suami yang
dikongsi dua orang wanita berbanding dengan sepuluh orang wanita seperti yang
saya ceritakan tadi?”
“Suami saya bukan nabi,” keluhnya.
“Cuba jadikan diri kita macam isteri nabi.” Pandainya
aku berkata-kata. Pasti perempuan muda itu berkata begitu.
“Saya ini hanya tukang cuci tandas. Manalah adik nak
mendengar kata-kata saya.” Aku memutuskan selepas teringatkan diri.
Status kehidupan pada mata manusia yang dangkal akalnya adalah takah pencapaian
sosialnya.
“Bukan… saya tak kata macam tu. Macam mana saya nak
jadi macam isteri nabi?”
“Susah,” Aku menyulitkan pula. Bodoh betul!
“Macam mana?” dia bagaikan teruja. Semudah
itu?
“Adik balik ke rumah. Sebelum tidur, maafkan semua
orang. Senyum dan tidur. InsyaAllah. Pagi esok, adik bangun
dengan rasa yang baru. Cubalah.” Kataku pendek. Mengadaptasi
kata-kata motivator tersohor, Prof Dr Muhaya dan Datuk Dr Fadzillah Kamsah.
“Itu aja?” tanyanya lagi. Bagaikan tidak percaya.
“Itu ajalah,” kataku pula.
“Selain tu?”
“Ingat Allah selalu. Ingat! Syaitan tu musuh kita… err…adik
rasa akak ni gilakah?” Perempuan muda itu menggeleng lagi.
“Akak masih cemburukan Saiditina Aishah?” Dia bertanya pula.
Aku mengangguk. Aku masih ingin menguak tirai
itu. Mengakui hakikat diri bahawa aku tidak mampu duduk mahupun berdiri
sama tinggi dengan wanita agung itu. Tetapi, sesuatu yang benar-benar
menganggu akal fikirku, aku masih cemburukan saat-saat wanita mulia itu
memangku Rasululullah pada detik-detik penghijrahan Baginda ke alam baqa.
Sungguh sarat rindu dan cemburu ini.
************************************************************
Imam Al
Tirmizi, Syamail Muhammad S.A.W. Keperibadian Rasulullah, Telaga Biru Sdn Bhd,
2008
Surah
Ar-Rahman
Zulkifli
Mohd Yusoff & Noor Naemah Abd Rahman, Biografi Muhammad bin Abdullah, PTS
Islamika Sdn Bhd, 2010
Ini
adalah cerpen terpantas dalam sejarah hidup saya pernah saya hasilkan. Disiapkan dalam masa dua jam, di petang
Maulidur Rasul sebelum Maghrib. Ini
adalah luahan rindu saya terhadap baginda yang saya abadikan untuk simpanan
peribadi dan sesiapa yang ingin berkongsi.
Tersiar di dalam majalah Tunas Cipta Ogos 2013
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D