Thursday, 9 April 2015

Kurungan Dialog




Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Saya biasa menggelarnya naratif aksi, atau naratif penerang. Rupa-rupanya nama rasminya ialah ‘kurungan dialog’ Maksud kurungan dialog ialah penerangan yang merangkumi sebaris dialog dan ditulis selepas dialog. Ia memperlihatkan emosi untuk setiap kata yang diucapkan ataupun aksi yang berturutan selepas dialog dituturkan. 

Perhatikan kurungan dialog yang memberi makna berlainan walaupun berasaskan dialog yang sama.
1.       Sebaik tiba sahaja di rumah, Affan terus bertanya, “mak mana?” dan dia meluru ke arah pintu bilik.

2.       “Mak mana?” Dia menggoncang-goncangkan bahu abah dan abangnya yang tegak berdiri dengan pandangan berkaca.

3.       “Mak mana?” jerit Mariam sambil tangannya menggoncang-goncangkan slip keputusan peperiksaan yang baru diterimanya.


Dalam ertikata lain, kurungan akan menentukan rentak cerita dan emosi yang dibawakan oleh watak dan sekaligus menentukan cerita itu menarik ataupun tidak.

Wednesday, 8 April 2015

Dialog Sebagai Penjelasan Hubungan




Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Memberitahu atau menulis di dalam naratif, seperti contoh :-
Dia adalah anak gadis Hadiati. 

Ia merupakan pernyataan biasa yang tidak menarik bukan? Bagaimana dengan bantuan dialog ini.
“Alah…Dani nak tidurlah, ma…” rengeknya sambil mengerutkan muka.
“Waktu-waktu macam ni orang tak tidurlah. Dah. Jom ikut mama!” Hadiati menarik tangan Danisya untuk mengikutnya. Mahu tak mahu, terpaksalah Danisya menurutinya ke ruang tamu.

Petikan novel Kerdipan Bintang Cinta, Yumi Zinnita, EMP, 2014

Dialog sudah menjelaskan hubungan kedua-dua watak dan ditambah dengan aksi yang menunjukkan personaliti si ibu, sekaligus. 

Tuesday, 7 April 2015

Dialog Sebagai Penjelasan Watak




Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Perhatikan dialog ini dan jelaskan personaliti watak ini.
“Kalau begitu, izinkan saya membantu,” kata Dr. Karen.
“Doktor sungguh baik hati.” Hakim mengangguk dan tersenyum tulus.
“Hakim setuju?” Dr. Karen mahukan kepastian.
“Saya mahu, tapi hati saya berbolak-balik.”

Petikan novel 9 Nyawa, Ramlee Awang Murshid, Alaf 21, 2010
Saya mengandaikan bahawa dialog tersebut menunjukkan Dr. Karen seorang yang mudah mesra manakala Hakim bersikap teragak-agak dan berwaspada.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung