Tuesday, 15 September 2015

Epilog Sebagai Cliffhanger

Teks : Monalita Mansor

Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Minggu lepas kita berbincang pasal monolog dan dialog. Minggu ni, kita bincang juga pasal log-log ini. Bukan log kayu balak atau buku log. Kali ni kita bercakap tentang epilog. Taikoseni merekodkan epilog sebagai tulisan di akhir sebuah karya kreatif. Ia mungkin boleh jadi satu bab. Tapi kebiasaannya, dalam 1 atau 2 muka surat sahaja.

Ia bolehlah dianggap rumusan atau mungkin solusi kepada keseluruhan cerita. Malah, ada juga penulis yang menggunakan ia sebagai ‘cliffhanger’ untuk menarik pembaca mengikuti sambungan novel tersebut. Di dalam buku ilmiah, epilog bolehlah dikatakan sebagai penutup.

Epilog dianggap sangat membantu lebih-lebih lagi dalam tulisan yang melibatkan fakta, biografi yang melibatkan kisah benar. Ia juga adalah medan penulis bercerita secara ringkas tentang apa yang terjadi kepada watak-watak setelah cerita tamat.
Epilog wajib ada dalam novel? Harus pun tidak. Bukan kemestian walaupun lazim ditulis oleh penulis di Malaysia.


Monday, 14 September 2015

Entri Tak Malu

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google
Assalamualaikum dan Salam Sayang. Bismillah.
Argh! Hari ini hari yang aku kira memalukan dalam hidup aku. Tak sedar air mata turun berdedai-dedai. Kalau aku menangis teresak-esak, nanti suami tanya pula, kenapa.
Entah, kalau aku cerita kat sini, memalukan diri sendiri. Senang cerita beginilah.
Aurat sudah awak tutup
Solat sudah awak sempurnakan
Tapi mulut awak belum tutup
Masih seronok mengumpat, masih seronok mengata
Sedang Allah terus sayang.
Awak tadah tangan minta rezeki pada waktu dhuha
Allah bagi rezeki terpijak
Awak minta badan sihat
Allah bagi
Awak minta hati gembira, hati bahagia
Allah bagi
Apa lagi yang awak nak? Awak ingat semua orang boleh dapat nikmat seperti yang awak dapat? Kenapa payah sangat awak nak jaga mulut awak daripada mengumpat orang. Kenapa payah sangat nak tahan hati daripada marah-marah.
Allah hu Akbar. Benarlah. Hamba tetap hamba. Adakalanya rasa seronok dengan kurniaan sampai lupa dunia. Tak bersyukur. Adakalanya, rasa susah sangat, sempit terhimpit – marah pada tuannya.

Sunday, 13 September 2015

Monolog Luaran dan Sudut Pandangan Orang Pertama

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google


Monolog luaran pula ialah perbuatan watak BERCAKAP SEORANG DIRI/BERSUARA tetapi tanpa direspon oleh watak lain. Meskipun penulis mewujudkan ada watak lain ketika itu, percakapan itu dianggap tidak didengar oleh sesiapa.
Penerang dialog ialah ; desis, gumam, bisik, getus, desah – atau apa sahaja perkataan yang menggambarkan perbuatan berkata-kata dengan perlahan.
Jadi apa perlu kita tulis perkataan ‘monolog’ kalau kita ada kosa kata yang menggambarkan watak bercakap sendiri?
Contoh :
Eh! Biar benar,’ getusnya. Dia memandang sekeliling. Tiada sesiapa di situ.
Penerang dialognya ialah : getus
Kurungan dialognya ialah : Dia memandang sekeliling. Tiada sesiapa di situ.
(penerang dialog dan kurungan dialog menguatkan ayat tersebut BAHAWA perbuatan itu adalah monolog berdasarkan perkataan ‘getus’(PD) dan ‘tiada sesiapa di situ’ (KD))
…maafkan aku sayang,’ bisiknya sebelum meletakkan surat itu dan berlalu pergi
Penerang dialog : bisik
Jadi sekali lagi saya tegaskan, kenapa nak guna perkataan monolog sedangkan kita boleh menggantikannya dengan perkataan lain. Cuba baca ayat ni,
….maafkan aku sayang,’ monolognya sebelum meletakkan surat itu dan berlalu pergi
Yang bermaksud
….maafkan aku sayang,’ dia bercakap sendiri sebelum meletakkan surat itu dan berlalu pergi.
Atau
       ……..aku akan dapatkan juga!’ dia bermonolog di dalam hati.
        Yang bermaksud
……………aku akan dapatkan juga!’ dia bercakap sendiri di dalam hati.
Bagaimanapun, berhati-hati sekiranya anda menggunakan sudut pandangan orang pertama atau POV1. Untuk mengenalpasti POV1 ialah apabila kita menggunakan ganti nama ‘aku’ atau ‘saya’ untuk mewakili watak.
Sekiranya anda menggunakan POV1, monolog yang boleh dipakai ialah monolog luaran. Monolog dalaman tidak boleh digunakan kerana POV1 dianggap adalah cerita watak tersebut sendiri atau dalam bahasa mudahnya, watak sedang bercakap dengan dirinya sendiri dalam ruang lingkup yang lebih luas.
Contoh : POV1
Itulah sebabnya aku jadi orang pertama yang sampai di fakulti ni. Tak ada orang. Inilah masa yang paling sesuai untuk aku jayakan misi rahsia. Jeng! Jeng! Jeng.
Noraz Ikha, Nota Cinta Rahsia, Komplot Menulis 2015.

Tidak terdapat monolog di dalam ayat ini kerana ‘aku’ sendiri yang bercerita. Maka, dia boleh menceritakan perasaannya secara terus. Lihat pula kalau saya tukarkan POV1 ke POV3. POV3 ialah sudut pandangan orang ketiga. Untuk mengecamnya, penulis biasanya menggunakan ganti nama watak, atau ‘dia’ atau ‘mereka’.

Contoh : POV3 + monolog
Itulah sebabnya dia menjadi orang pertama yang sampai di fakulti ni. Tak ada orang. ‘Inilah masa yang paling sesuai untuk aku jayakan misi rahsia. Jeng! Jeng! Jeng.’ Rania menyengih, mengiyakan kata hatinya.

Di dalam petikan ini, saya telah menggantikan ‘aku’ dengan ‘dia’ dan sebelum perkataan ‘Inilah’ saya letak pengikat kata (‘) untuk memberitahu watak sedang berdialog. Juga saya tambah kurungan dialog ‘Rania menyengih, mengiyakan kata hatinya.’ Menunjukkan watak bernama Rania sedang bermonolog.

Maka, ingat! Jangan bermonolog dalaman kalau anda menggunakan sudut pandangan orang pertama. POV1

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung