Friday, 11 July 2014

Sepasang Baju Raya Yang Menggembirakan

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Assalamualaikum dan Salam Kreatif. Bismillah.

Ramadan semakin menginjak ke pertengahan. Tak lama lagi kita akan membaca doa Qunut dalam setiap Witir, walaupun kita dah memulakan Qunut Nazilah dalam setiap solat, sebagai usaha dan doa untuk Gaza. Hujan turun kala azan menyeru para lelaki mumaiiyiz dan tidak agar bersama-sama menunaikan kefardhuan yang wajib bagi lelaki di serata alam.

Indahnya hujan. Terasa bagaikan Allah memberi peluang kepada manusia untuk terus berdoa. Dan, dengan janji, akan dimakbulkan-Nya. Insya-Allah. Jumaat tetap manis, pagi tadi, tertinggal kuliah harian. Kereta yang menjadi kaki mengangkut suami ke tempat kerja dan anak ke sekolah (biiznillah) tidak mahu bergerak lagi.

Sudah berminggu-minggu ia meragam, poket untuk bajet raya juga sudah diamuk tsunami dengan pelbagai tekaan dan cubaan pembaikan. Kemuncaknya, hari ini ia koma terus. Langkah akhir, memanggil mekanik dan kereta telah ditarik ke bengkel. Terduga? Ramadan kali ini memang menduga. Jika Gaza dan seluruh isinya dijanjikan dengan syahid, kami sekeluarga diduga dengan hakikat Ramadan, iaitu merasai kesusahan orang lain. Benarlah, kesusahan itu tidak akan menjentik hati andai tidak dirasai sendiri.

Apabila mata menyapa berita tentang ikhlasnya mereka di luar sana membelanjai anak yatim berbuka puasa, mengadakan pelbagai kutipan seperti sehelai baju buat menyapu air mata misalnya, mata saya memandang anak-anak. Dalam hati saya mengharapkan mereka reda dengan sambutan raya tahun ini. Betul-betul reda.
Raya bukan segalanya, namun hati anak-anak tidak dapat menyelami hakikat kemenangan menghabiskan Ramadan. Apa yang terfikir dek mereka ialah berbaju baru waima sepasang dan merasa gembira.

Saya harap, saya mampu menggembirakan mereka walau dengan sepasang baju.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung