Wednesday, 23 April 2014

Menugal Janji - Hari ke 2

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Monalita Mansor

Assalamualaikum dan Salam Serumahtangga. Bismillah.

Hari kedua berkampung di Dewan Banquet Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hari ini kami dibahagikan kepada dua kumpulan untuk sesi cerah minda dan latih tubi menghasilkan skrip. Saya berada di dalam grup bersama beberapa nama besar dalam bidang penghasilan skrip di DBP seperti Roziah Adama, tak ketinggalan juga 'otai' di DBP, Zurina Shafie. Grup kami dibimbing oleh tuan Zakaria Ariffin dan kami diminta membentangkan sinopsis masing-masing.

Saya membentangkan sinopsis cerpen 'Anak Juang' sebuah karya yang agak berat dan memerlukan upaya memikir justifikasi mesej di dalamnya. Namun begitu, saya percaya remaja Malaysia sudah matang dalam menanggapi sebuah karya.

Bagaimanapun, sehabis baik saya cuba mengolah cerpen tersebut menjadi drama yang tidak terlalu berat dengan menyuntik unsur humor di dalam watak-watak pembantu di dalam cerpen tersebut. 'Anak Juang' menjadi lebih mudah di dalam minda saya memandangkan ia pernah dipentaskan di Hotel Pan Pacific jauh ke belakang pada tahun 1991 sempena penyampaian Hadiah Sastera Siswa ketika itu yang menyaksikan saya salah seorang pemenangnya.

Barulah saya faham kini mengapa sesebuah karya apabila dilepaskan ke layar perak ataupun layar kaca tidak dapat menyamai naskah asal 100%. Kesemua peserta diminta menyudahkan skrip ini di dalam masa sebulan daripada tarikh 20/5/2014 untuk tujuan pemurnian dan penilaian Bahagian Buku Kanak-Kanak dan Remaja.

Sejujurnya, masa yang diberikan agak ketat berdasarkan hari kalendar saya yang tidak lagi kosong dari masa ke semasa. Bagaimanapun, pembahagian masa adalah jalan terbaik buat WAHM seperti saya, sebagaimana manusia lain juga yang dikurnia 24 jam sehari.

Nota : Jika ingin menulis tentang manusia, maka bergaullah dengan manusia - Ismail Kassan

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen :D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Klik Tabung